
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi R Ramanan berkata, tambahan dana itu menjadikan keseluruhan peruntukan untuk usahawan masyarakat India kini berjumlah RM60 juta.
Katanya, skim itu terbuka untuk semua usahawan Spumi sedia ada yang telah mendaftar Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dengan menawarkan nilai pembiayaan daripada RM50,000 hingga RM100,000.
“Antara sektor yang boleh dapat bantuan ini ialah kontraktor kecil, pertanian dan perusahaan asas tani, peruncitan, perkhidmatan, pembuatan dan perniagaan dalam talian,” katanya pada sidang media.
“Saya percaya dan yakin melalui perancangan ini kita dapat membentuk usahawan yang berdaya saing dan dapat menjamin kejayaan mereka termasuk berjaya menembusi pasaran antarabangsa.”
Usahawan boleh memohon Spumi Goes Big, yang dijangka memanfaatkan lebih 2,000 usahawan, di semua cawangan Tekun Nasional bermula 15 April ini.
Ramanan berkata, sehingga Mac lepas, 28,808 usahawan masyarakat India telah mendapat pembiayaan bawah skim sedia ada dengan nilai RM450.5 juta.
Sejak skim itu dilaksanakan pada 2008, Tekun Nasional telah menerima peruntukan sebanyak RM421.5 juta.
Ramanan seterusnya mengumumkan pelantikan Adun Sentosa Dr Gunaraj George sebagai ahli Lembaga Pengarah Tekun Nasional, manakala Adun Batu Uban A Kumaresan sebagai ahli Lembaga Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia.