
Ketua Polis Kuantan, Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata maklumat itu diperoleh berdasarkan pemeriksaan terhadap beberapa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi kejadian.
“Justeru, usaha mengesan suspek giat dijalankan dan kita juga akan lihat CCTV lain yang dapat membantu siasatan,” katanya ketika ditemui pemberita semasa Kempen Pencegahan Jenayah di Bazar Aidilfitri Dataran Sekilau malam tadi.
Wan Zahari berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes berkenaan diminta tampil bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.
Ketua Polis Pahang, Yahaya Othman, semalam dilaporkan berkata polis merakam keterangan empat individu bagi membantu siasatan selain Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) diarahkan meningkatkan rondaan di cawangan KK Mart di seluruh negeri.
Pada 30 Mac lalu, cawangan KK Mart yang baru beroperasi dua minggu itu dibaling bom petrol oleh individu tidak dikenali sehingga menyebabkan empat rak jualan serta beberapa barangan jualan rosak.