Didakwa tipu, bos Spanco mengaku tak salah

Didakwa tipu, bos Spanco mengaku tak salah

Hakim membenarkan Tan Hua Choon diikat jamin RM2 juta bersama seorang penjamin.

Pengerusi Spanco Sdn Bhd, Tan Hua Choon (sut biru) tiba di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.
KUALA LUMPUR:
Tan Hua Choon, pengerusi Spanco Sdn Bhd yang mengendalikan perolehan dan pengurusan kenderaan kerajaan, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menipu.

Tan, 83, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Suzana Hussin.

Dia didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebatan dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Tan didakwa melakukan kesalahan itu antara 27 dan 28 Feb 2019 di pejabat Kementerian Kewangan, Putrajaya.

Dia didakwa memperdaya jawatankuasa tender berhubung pemilikan saham Bumiputera Spanco, yang menyebabkan Kementerian Kewangan menganugerahkan kontrak bernilai RM3.9 bilion untuk memperoleh dan menguruskan kenderaan kerajaan.

Hakim menetapkan ikat jamin RM2 juta bersama seorang penjamin.

Tertuduh turut diarah menyerahkan pasportnya kepada mahkamah sehingga kes selesai, melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia setiap dua bulan dan dilarang menghubungi saksi secara terus atau melalui pihak ketiga.

Sebutan semula kes ditetapkan 4 Jun ini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Jumaat, manakala peguam Wan Azmir Wan Majid mewakili Tan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.