2 kementerian kerjasama bangun teknologi bantu industri sawit

2 kementerian kerjasama bangun teknologi bantu industri sawit

Kementerian Perladangan dan Komoditi bekerjasama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi untuk galak inovasi dalam industri sawit negara.

Menteri Perladangan dan Komoditi Johari Ghani ketika mengadakan mesyuarat dengan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang semalam. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) akan bekerjasama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) untuk menggalakkan pelbagai inovasi, automasi dan mekanisasi bagi industri sawit negara.

Menteri Perladangan dan Komoditi Johari Ghani berkata persetujuan mengenai perkara itu telah dicapai semasa perbincangan dengan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang semalam.

Perbincangan itu adalah mengenai pembangunan teknologi bagi penuaian sawit, katanya menerusi hantaran di X.

“Oleh dengan ini kami mengalu-alukan Mosti, penyelidik, usahawan teknologi dan pihak berkepentingan yang lain dalam ekosistem ini untuk melakukan inovasi serta adaptasi teknologi yang maju bagi membantu industri sawit Malaysia,” katanya.

Sementara itu, menerusi hantaran di akaun rasmi di Facebook, Chang berkata Mosti komited untuk menawarkan teknologi dan inovasi yang bersesuaian bagi menangani cabaran yang dihadapi oleh industri kelapa sawit khususnya dalam proses penuaian.

Beliau berkata industri kelapa sawit, yang merupakan antara penyumbang utama kepada ekonomi negara, menghadapi kekurangan tenaga kerja sehingga mengakibatkan kerugian pendapatan yang signifikan, dianggarkan mencecah RM20 bilion hingga RM30 bilion.

Mosti dan KPK telah mengadakan siri perbincangan untuk memajukan industri itu manakala pihak berkepentingan turut mengetengahkan isu berkaitan proses penuaian, katanya.

Chang menyatakan keyakinan dapat menerajui pembangunan teknologi melalui kolaborasi erat Mosti dan KPK, serta dengan sokongan semua pihak berkepentingan, sekali gus akan meningkatkan kecekapan dan daya saing industri kelapa sawit negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.