Panggil mesyuarat tergempar berkait serangan KK Mart, Guan Eng beritahu PM

Panggil mesyuarat tergempar berkait serangan KK Mart, Guan Eng beritahu PM

Ahli Parlimen Bagan berkata Majlis Keselamatan Negara mesti mengambil langkah segera untuk mencegah anasir pencetus.

Tiga cawangan KK Mart diserang dengan bom petrol setakat ini iaitu di Perak, Pahang dan Sarawak.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim memanggil mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi menangani serangan bom petrol ke atas kedai KK Mart baru-baru ini.

“Perdana menteri harus memanggil mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Negara bagi membincangkan situasi ini dan mengambil langkah segera untuk mengelakkan sebarang anasir pencetus yang mampu menggugat keamanan dan keharmonian dalam masyarakat kita yang berbilang kaum dan agama,” kata pengerusi DAP dalam kenyataan.

Lim berkata, campur tangan persekutuan perlu bagi mengurangkan ketegangan yang semakin meningkat, sambil menyifatkan “gesaan” berterusan Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh terhadap isu itu adalah tidak bertanggungjawab dan tidak wajar bagi seorang pemimpin kerajaan negeri Melaka yang juga sebahagian daripada kerajaan perpaduan.

“Biarpun ketua pemuda Umno telah menafikan sebarang motivasi politik dan mengutuk serangan ke atas KK Mart, pemboikotan ini tidak menghentikan serangan ganas ke atas KK Mart oleh anasir pelampau yang berbahaya,” katanya.

Tiga insiden serangan bom petrol berlaku di kedai KK Mart dan yang terbaru di Kuching, Sarawak pada Ahad.

Kejadian pertama dan kedua berlaku di Perak serta Pahang, masing-masing pada 26 dan 29 Mac.

Serangan ketiga berlaku walaupun Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menggesa pihak-pihak supaya berhenti memperkatakan isu itu.

Sultan Pahang Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah turut menzahirkan dukacita dan kecewa dengan kejadian itu.

KK Mart menjadi tumpuan selepas stoking tertera kalimah Allah didapati dijual di salah sebuah cawangannya di Bandar Sunway.

Pengasasnya KK Chai dan isterinya Loh Siew Mui, yang merupakan pengarah syarikat, mengaku tidak bersalah di mahkamah atas pertuduhan melukakan perasaan agama seseorang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.