Keputusan benar semakan kehakiman AS dibawa ke Jemaah Menteri, kata Sim

Keputusan benar semakan kehakiman AS dibawa ke Jemaah Menteri, kata Sim

Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata pegawai undang-undang kementerian akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Peguam Negara berhubung perkara itu.

Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata pihaknya memandang serius keputusan Mahkamah Tinggi dan akan membawanya ke mesyuarat Jemaah Menteri. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Mesyuarat Jemaah Menteri esok akan membincangkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan permohonan semakan kehakiman difailkan kerajaan Amerika Syarikat (AS) bagi membatalkan award diberikan oleh Mahkamah Perusahaan kepada seorang bekas pengawal keselamatan.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, berkata pegawai undang-undang Kementerian Sumber Manusia juga akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk melihat tindakan seterusnya, lapor Berita Harian.

“Saya sudah berbincang dengan pegawai undang-undang kementerian, kita akan lihat latar belakang penghakiman dahulu. Kemudian pegawai undang-undang akan berbincang dengan peguam negara untuk melihat tindakan seterusnya,” katanya yang dipetik akhbar itu.

Semalam, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan semakan kehakiman difailkan kerajaan AS bagi membatalkan award berjumlah RM66,000 yang diberikan oleh Mahkamah Perusahaan kepada bekas pengawal keselamatan L Subramaniam yang bertugas di Kedutaan AS kerana pemecatannya secara salah.

Hakim Amarjeet Singh dalam keputusannya berkata mahkamah mendapati pemohon (kerajaan AS) dan kedutaannya mempunyai imuniti dan terlindung daripada bidang kuasa Mahkamah Perusahaan berkenaan dengan tuntutan Subramaniam di bawah Seksyen 20 (3) Akta Perhubungan Perusahaan 1967.

Beliau juga mengarahkan Subramaniam membayar kos RM8,000.

Pada 9 Ogos tahun lalu, kerajaan AS memfailkan permohonan baharu itu dengan menamakan Mahkamah Perusahaan dan Subramaniam sebagai responden pertama dan kedua.

Dalam permohonan itu, kerajaan AS memohon perintah untuk membatalkan award diberikan oleh Mahkamah Perusahaan pada 2023 kepada Subramaniam.

Kerajaan AS turut memohon perintah mahkamah agar pemecatan Subramaniam adalah kerana salah laku disiplin dalaman kedutaan negara itu, dan negara terbabit serta kedutaannya dilindungi imuniti daripada bidang kuasa Mahkamah Perusahaan berkenaan dengan tuntutan Seksyen 20 (3) Akta Perhubungan Perusahaan 1967.

Pada 8 Jan 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan kerajaan AS dan kedutaannya dilindungi oleh imuniti serta mengarahkan Mahkamah Perusahaan tidak mendengar kes pemecatan salah Subramaniam.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan pada 2021 mengetepikan keputusan itu dan memerintahkan Mahkamah Perusahaan meneruskan pendengaran tuntutan tersebut yang menyebabkan kerajaan AS merayu ke Mahkamah Persekutuan, namun rayuan itu ditolak.

Pada 27 April 2023, Mahkamah Perusahaan memberikan award berjumlah RM66,000 kepada Subramaniam sebagai pampasan selepas mendapati kedutaan itu memecat beliau secara salah.

Sebelum ini, Subramaniam mendakwa dipecat secara salah pada 2008 selepas bertugas lebih 10 tahun dengan Kedutaan AS.

Dakwa Subramaniam, 56, beliau hanya menjalankan tugas sebagai pengawal keselamatan di kedutaan itu dan tidak terlibat dengan fungsi diplomatik atau keputusan kerajaan AS selain tidak memiliki sebarang akses kepada maklumat atau dokumen sulit berkaitan kedutaan itu atau kerajaan AS.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.