
Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB) Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, 65, berkata dalam perbualan WhatsApp dengan seorang ahli perniagaan G Gnanaraja pada 17 Julai 2017, Zarul Ahmad berkata beliau yang menyebut mengenai ‘coklat’ (wang RM2 juta) dan ia bukan disebut oleh Gnanaraja.
Saksi itu bersetuju bahawa dalam perbualan WhatsApp itu beliau tidak ada menyebut penyerahan wang RM2 juta untuk “CM” atau untuk PM (perdana menteri), menurut laporan Bernama.
Beliau menjelaskan bahawa “CM” itu merujuk kepada Lim Guan Eng, ketika pemeriksaan utama peguam, Haijan Omar pada prosiding mencabar kredibiliti saksi berkenaan di hadapan Azura Alwi.
Ditanya peguam RSN Rayer mengenai perbualan WhatsApp antara Zarul Ahmad dan G Gnanaraja pada 23 Julai 2017, saksi itu berkata Gnanaraja memaklumkan kepadanya bahawa beliau akan berjumpa dengan “Big Boss” iaitu merujuk kepada Najib di Taman Duta.
Rayer: Pada 23 Julai 2017, Gnanaraja kata beliau sambut birthday “Big Boss” dan akan jumpa “Big Boss” di Taman Duta, jadi “Big Boss” adalah merujuk kepada Najib.
Zarul Ahmad: Ya.
Saksi itu bagaimanapun tidak bersetuju dengan peguam bahawa “Big Boss” hanya merujuk kepada Najib kerana beliau turut menggunakan “Big Boss” kepada individu lain.
Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Lim, 63, didakwa sebagai ketua menteri Pulau Pinang menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang berjumlah RM3.3 juta dengan membantu syarikat milik Zarul Ahmad bagi dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702 antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.
Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan 10% daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama.
Lim didakwa melakukan perbuatan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.
Beliau juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta, dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.
Perbicaraan bersambung esok.