
“Dalam banyak-banyak tempat, kita tidak menyangka ia berlaku di Kuching, Sarawak yang dikenali sebagai Bandaraya Perpaduan, tempat di mana selama ini kita belajar hidup harmoni tidak kira kaum, agama, dan latar belakang,” kata Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii kepada FMT.
Kuching diberi status Bandaraya Perpaduan oleh Yayasan 1Malaysia, pada 2015.
Yii mengutuk serangan itu sebagai “melampau”, dan menggesa rakyat Sarawak bertenang dan kekal bertoleransi.
“Kita sebagai rakyat Sarawak mesti bersuara menentang perbuatan kebencian dan menghalang ia daripada dinormalisasi di tanah air kita.”
Serangan ke atas sebuah cawangan KK Mart di Kuching semalam adalah yang ketiga dalam tempoh seminggu. Insiden itu dilapor lelaki berusia 25 tahun yang bekerja di cawangan bertempat di Jalan Satok.
Dua serangan terdahulu berlaku di cawangan KK March di Bidor, Perak, dan Kuantan, Pahang.
Bom petrol dilempar ke arah kedai serbaneka tersebut di Bidor pada 26 Mac, namun gagal meletup; manakala di Kuantan, yang berlaku pada 29 Mac, menyaksikan beberapa barangan terbakar, namun api segera dipadamkan pekerja.
KK Mart diselubungi kontroversi sejak 13 Mac selepas beberapa gambar stoking tertera kalimah Allah yang ditemui di KK Mart Bandar Sunway tersebar di media sosial sekali gus mencetuskan kemarahan orang Islam dan desakan boikot oleh Pemuda Umno.
Syarikat itu sudah memohon maaf dan menyatakan kekesalan berhubung insiden tersebut.
Pengasas KK Mart dan isterinya, serta tiga pengarah syarikat yang mengedar stoking berkenaan juga telah didakwa di Mahkamah Sesyen berasingan di Shah Alam atas pertuduhan melukakan perasaan agama orang lain dengan menjual stoking tertera kalimah Allah.
Bagaimanapun, semua mereka mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.