Peluang menang PRK KKB lebih tinggi jika PH letak calon Melayu, kata penganalisis

Peluang menang PRK KKB lebih tinggi jika PH letak calon Melayu, kata penganalisis

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, pemilihan calon Melayu boleh menarik penyokong Umno yang tidak mengundi PH pada PRN tahun lalu.

Penganalisis berkata, pemilihan calon Melayu tidak akan menjejaskan sokongan pengundi bukan Melayu kepada Pakatan Harapan pada PRK Kuala Kubu Baharu.
PETALING JAYA:
Seorang penganalisis berpendapat, peluang Pakatan Harapan (PH) memenangi PRK Kuala Kubu Baharu lebih tinggi jika meletakkan calon Melayu memandangkan jumlah pengundi Melayu di DUN itu cukup signifikan.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, pemilihan calon Melayu boleh menarik penyokong Umno yang tidak mengundi PH pada PRN tahun lalu, selain mengimbangi kemungkinan pengundi bukan Melayu – yang juga penyokong teras PH – keluar mengundi rendah.

“Cadangan meletakkan calon Melayu merupakan langkah taktikal dan tepat untuk PH mengekalkan kemenangan di kerusi itu memandangkan dua DUN lain dan Parlimen Hulu Selangor dimenangi Perikatan Nasional (yang menguasai sokongan pengundi Melayu), selain pengundi Melayu di kawasan tersebut cukup signifikan.

“Ia mempunyai peluang lebih tinggi apabila meletak calon Melayu, di mana pengundi bukan Melayu akan memberi undi kepada calon PH dan pada masa sama memastikan risiko peratusan keluar mengundi rendah dapat dihadapi dengan gabungan undi Melayu dan bukan Melayu,” katanya kepada FMT.

DUN Kuala Kubu Baharu terletak di bawah Parlimen Hulu Selangor yang mempunyai 46% pengundi Melayu, Cina (30%), India (18%) and lain-lain (5%).

Sejak dulu kerusi itu diwakili Adun Cina. Pada PRN Ogos lalu, Lee Kee Hiong daripada DAP mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 4,119 undi dalam saingan tiga penjuru. Kerusi itu kosong susulan kematiannya pada 21 Mac lalu.

Semalam, Setiausaha DAP Selangor, Ng Sze Han dilaporkan berkata, parti itu belum memutuskan senarai pendek calon PH bagi PRK Kuala Kubu Baharu di sebalik khabar angin ia akan menampilkan calon wanita Melayu.

Sumber memaklumkan FMT, wanita yang memegang jawatan ahli Majlis Perbandaran Hulu Selangor itu antara calon berpotensi diketengahkan DAP.

Sementara itu, Kartini Aboo Talib dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, pemilihan calon Melayu tidak akan menjejaskan sokongan pengundi bukan Melayu kepada PH pada PRK Kuala Kubu Baharu.

“DAP menang di DUN sana tiga penggal, ditambah pula ini kawasan lebih 50% adalah bukan Melayu. Jika DAP bersedia meletak calon Melayu, pengundi Cina akan sokong atas kesetiaan kepada DAP dan mengharapkan kaedah ini memberikan kesan ‘spill over’ kepada kawasan lain yang pro-PN beralih menyokong PH-DAP-Umno.

“Cuma untuk orang Melayu di Hulu Selangor segera beralih undi kepada PH agak sukar. Komposisi masyarakat Melayu-Islam masih mendahului di Hulu Selangor dan isu kepenggunaan dengan harga barang, minyak, beras, telur naik harga agak sukar untuk menawan hati pengundi. Apatah lagi soal agama dan Melayu-Islam dilihat kurang dijuarai PH.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.