
Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong, berkata Rafizi juga perlu menjelaskan berapakah kos digunakan untuk publisiti serta pembukaan kaunter mendaftar Padu dalam tempoh tiga bulan ini dan siapakah yang membayar perbelanjaan itu.
“Sebelum ini, Rafizi berkata ia tidak memerlukan banyak wang, kira-kira RM2 juta untuk ‘hardware’, tetapi Wee berkata ia telah menelan kos sebanyak RM80 juta. Sila jelaskan,” katanya dalam kenyataan.
Wee dalam satu hantaran di Facebook pada 24 Mac lalu berkata, kos RM80 juta untuk membangunkan Padu adalah terlalu tinggi dan ia sepatutnya boleh digunakan untuk menambah baik sistem e-Kasih yang digunakan kerajaan ketika ini.
Sementara itu, Oh juga menyifatkan pendaftaran automatik untuk individu yang tidak mendaftar Padu umpama “mencuri” dan “merompak” maklumat rakyat, termasuk mempersoalkan adakah Perdana Menteri Anwar Ibrahim tahu sejak awal mengenainya.
“Adakah langkah pendaftaran automatik diambil atas tujuan menjaga air muka kerajaan bagi mengelakkan kritikan dibuat apabila sasaran 50% pendaftaran tidak tercapai pada hari terakhir.
“Dengan pelaksanaan pendaftaran automatik, kerja-kerja pendaftaran dan publisiti yang dibuat selama tiga bulan ini boleh dikatakan membazirkan dana awam dan masa rakyat jelata dan kakitangan kerajaan,” katanya.
Pendaftaran Padu yang tamat tempoh semalam mencatatkan pendaftaran sebanyak 10.8 juta.
Pada 28 Dis lalu, Rafizi menafikan dakwaan pembangunan sistem Padu sebagai membazir dan dibangunkan semata-mata untuk mengaut keuntungan.
Menurut Rafizi, pendaftaran Padu dibangunkan sepenuhnya oleh penjawat awam menggunakan peruntukan dan infrastruktur sedia ada, tanpa perlu membuka tender baharu kepada pihak swasta.
Semalam, Ketua Perangkawan Uzir Mahidin berkata bagi rakyat yang tidak mengemas kini maklumat dalam Padu, sistem itu tetap mempunyai data asas yang didaftarkan secara automatik.