
Ketua Polis Kelantan, Muhamad Zaki Harun, berkata hal ini kerana siasatan masih lagi di peringkat awal dan mungkin terdapat saksi lain berada di luar negeri itu.
Katanya, siasatan juga akan menjurus kepada tohmahan dilemparkan kepada guru tersebut dan menyemak segala teks perbualan serta mesej daripada kedua-dua pihak kerana tidak mahu ada individu teraniaya.
“Sekarang kita sudah panggil empat saksi namun identiti mereka tidak boleh didedahkan kerana kes tersebut akan disiasat lebih mendalam.
“Kita seru pihak yang mempunyai maklumat tampil bantu siasatan ini dan kita akan melihat sejauh mana kebenaran seperti didakwa mangsa,” katanya menurut Bernama pada sidang media di IPK Kelantan di Kota Bharu.
Mengulas lanjut, Zaki berkata siasatan akan dilakukan secara terperinci dan telus kerana ia melibatkan profesion seorang guru dan pelajar sekolah terbabit.
Pada 28 Mac, seorang individu menerusi media sosial mendakwa seorang guru di sebuah sekolah di Tumpat yang diketahui sebagai seorang pedofil masih mengajar di sekolah berkenaan.
Bagaimanapun, guru terbabit yang dituduh melakukan perbuatan itu membuat laporan di Balai Polis Tumpat dengan mendakwa dia difitnah.
Semalam, media melaporkan polis memanggil beberapa saksi termasuk pelajar dan guru berhubung kes berkenaan dan melihat segala kandungan dalam telefon pihak yang terlibat seperti perbualan telefon dan aplikasi WhatsApp.
Siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 500 Kanun Keseksaan.