Anwar sedih, kecewa kes rasuah kastam di KLIA

Anwar sedih, kecewa kes rasuah kastam di KLIA

Perdana menteri berkata walaupun ketirisan itu melibatkan satu jabatan kecil di bawah kementeriannya, ia mengakibatkan negara kerugian hampir RM2 bilion.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata beliau kecewa dengan kes rasuah lebih RM4.7 juta membabitkan 34 anggota Jabatan Kastam di kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim kecewa dengan laporan sindiket penyeludupan membabitkan 34 anggota Jabatan Kastam di kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang yang dipercayai menerima wang rasuah bernilai lebih RM4.7 juta.

Beliau yang juga menteri kewangan berkata walaupun ketirisan itu melibatkan satu jabatan kecil di bawah kementeriannya, ia mengakibatkan negara kerugian hampir RM2 bilion.

Bagaimanapun katanya, selain kes terbaharu itu, beliau dimaklumkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa pimpinan kanan penjawat awam masih terhindar daripada sebarang penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

“Kita pastikan pimpinan sentiasa diingatkan dan sehingga kini dengan mendapat maklumat daripada badan penguatkuasaan termasuk SPRM, pimpinan dan pimpinan kanan penjawat awam masih terhindar dari masalah penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

“Tetapi masih berlaku ‘kecurangan’ yang bagi saya sangat mengesankan dan menyedihkan termasuk berita baru-baru ini daripada Jabatan Kastam yang di bawah pengawasan saya di Kementerian Kewangan,” katanya pada perjumpaan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya.

“Orang yang meremehkan isu rasuah lupa bahawa dalam satu jabatan, satu jabatan kecil dari pasukan atau keluarga kastam keseluruhannya itu masih boleh menyebabkan kerugian hampir RM2 bilion kepada negara.”

Pada 29 Mac, SPRM mendedahkan jumlah ketirisan melibatkan anggota kastam itu mencecah RM2 bilion bagi tempoh tiga tahun lepas.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berkata setakat ini, seramai 34 anggota penguat kuasa dan 27 individu serta pemilik syarikat ditahan menerusi Op Samba 2.0 kerana melindungi dan memudahkan aktiviti penyeludupan sindiket itu.

Beliau berkata anggota dan pegawai penguat kuasa berusia 30 hingga 50 ditahan selepas dipercayai menerima wang rasuah lebih RM4.7 juta daripada sindiket bagi memudahkan kegiatan penyeludupan tembakau kunyah, rokok, arak, produk kesihatan dan alat ganti kenderaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.