7 saksi beri keterangan kes bom petrol KK Mart Bidor

7 saksi beri keterangan kes bom petrol KK Mart Bidor

Polis berkata, pekerja dan orang awam memberi keterangan bagi membantu siasatan mengesan suspek.

Ketua Polis Tapah, Mohd Naim Asnawi berkata, selain rakaman CCTV, tiada bukti lain ditemui di KK Mart Bidor buat masa ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Belum ada tangkapan dibuat polis selepas merakam percakapan tujuh saksi dalam kes KK Mart dekat Bidor, Perak dilempar bom petrol minggu lalu.

Ketua Polis Tapah, Mohd Naim Asnawi berkata, saksi itu terdiri daripada pekerja dan orang awam bagi membantu siasatan mengesan suspek.

“Selain rakaman kamera litar tertutup (CCTV), tiada bukti lain ditemui di lokasi kejadian buat masa ini,” katanya menurut Harian Metro.

Susulan kejadian itu, beliau berkata, polis meningkatkan rondaan di kawasan operasi KK Mart bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Minggu lalu, Ketua Polis Perak, Mohd Yusri Hassan Basri dilaporkan berkata, semakan CCTV kedai serbaneka itu mendapati sebuah kereta berwarna gelap dengan pelekat warna merah berhenti di tepi jalan kira-kira 5.35 pagi 26 Mac lalu.

Katanya, seorang lelaki turun dari kereta dan membaling sesuatu dipercayai botol kaca berisi minyak tanah ke kedai itu, sebelum beredar dari tempat kejadian.

Ia disusuli KK Mart di Sungai Isap, Kuantan diserang bom petrol pada 30 Mac lalu menyebabkan bahagian pintu masuk premis terbakar dan empat rak jualannya mengalami kerosakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.