Tuntut bagasi tunai RM500,000, pengarah syarikat tak kemuka bukti

Tuntut bagasi tunai RM500,000, pengarah syarikat tak kemuka bukti

Polis Selangor berkata tiada bukti dibawa bahawa bagasi wang dijumpai pengawal keselamatan pada 19 Mac milik syarikatnya.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan, berkata pengarah syarikat kayu balak itu dakwa bagasi wang tunai itu diambil dari rumah rakannya yang memulangkan wang pinjaman. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pengarah syarikat kayu balak yang menuntut bagasi tunai RM500,000 yang ditemukan di pusat beli belah di Damansara pada 19 Mac tampil memberi keterangan, namun tidak membawa sebarang bukti, kata polis Selangor.

Individu itu mendakwa tidak menyedari bagasi wang tunai itu yang diambil dari rumah rakannya terletak di atas pusat beli belah tersebut tidak dimasukkan dalam kenderaan miliknya.

“Bagasi (yang mengandungi wang) itu diambil dari rumah rakannya yang ingin memulangkan wang itu selepas dipinjamkan tahun lalu untuk tujuan pelaburan,” kata Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan kepada Harian Metro.

Beliau berkata, individu terbabit hanya menyedari ketiadaan bagasi berkenaan ketika sampai di rumah.

“Namun dia kemudian menyedari apabila hendak mengambil bagasi berisi wang itu tiada di dalam kereta,” katanya.

Hussein berkata, ketika kehadirannya semalam individu terbabit tidak membawa sebarang rekod bukti mendakwa wang itu milik syarikatnya.

“Siasatan terhadap tuntutan itu masih diteruskan. Prosedur selepas ini adalah individu terbabit perlu datang semula untuk memberi keterangan lanjut termasuk sumber wang terbabit,” katanya.

Pada 19 Mac, pengawal keselamatan sebuah pusat beli-belah menemui bagasi berisi wang tunai RM500,000 ditinggalkan di kawasan parkir.

Pengawal keselamatan berkenaan kemudian membuat laporan polis berkaitan penemuan bagasi berwarna merah jambu dan putih bersaiz sederhana kira-kira 8 pagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.