PRK KKB ujian undi Melayu, kata penganalisis

PRK KKB ujian undi Melayu, kata penganalisis

James Chin dari Universiti Tasmania berkata, undi bukan Melayu, termasuk undi India, mungkin kurang penting dalam PRK itu.

Kuala Kubu Baharu ialah kerusi campuran, dengan lebih 46% pengundinya terdiri daripada orang Melayu.
PETALING JAYA:
Seorang penganalisis politik berpendapat PRK Kuala Kubu Baharu akan menjadi kayu pengukur corak pengundian orang Melayu, bukannya masyarakat India.

James Chin dari Universiti Tasmania berkata, pengundi bukan Melayu mungkin terus menyokong Pakatan Harapan (PH), khasnya disebabkan penguasaan DAP terhadap undi Cina.

Tetapi, sokongan lantang Perdana Menteri, Anwar Ibrahim terhadap rakyat Palestin susulan konflik di Gaza, serta pendirian Umno sebagai pembela Islam dalam kontroversi penjualan stoking tertera kalimah Allah, memberi gambaran gabungan pemerintah berusaha memikat pengundi Melayu.

“Jadi, mari kita lihat sama ada taktik ini berkesan dalam kalangan penduduk Melayu-Islam,” katanya kepada FMT.

Kenyataan Chin itu menyusul dakwaan bekas timbalan pengerusi DAP Pulau Pinang, P Ramasamy bahawa PRK Kuala Kubu Baharu ujian potensi sokongan kaum India terhadap Perikatan Nasional (PN).

Ramasamy, yang kini mengetuai parti India baharu, Urimai berkata pengundi India sedia menyokong pembangkang di sebalik ketidakpastian terhadap masa depan di bawah kerajaan baharu.

Pengundi DUN Kuala Kubu Baharu terdiri daripada 46% orang Melayu, Cina (30%), India (18%) dan lain-lain (5%).

Sejak dulu kerusi itu diwakili Adun Cina. Pada PRN Ogos lalu, Lee Kee Hiong daripada DAP mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 4,119 undi dalam saingan tiga penjuru. Kerusi itu kosong susulan kematiannya pada 21 Mac lalu.

Dakwaan Ramasamy menyusul kebimbangan dalam kalangan ahli akar umbi MIC bahawa sokongan pengundi India terhadap kerajaan semakin merosot, dengan komuniti itu cenderung kepada PN, sebahagiannya disebabkan kekecewaan mereka terhadap Anwar yang tidak menunaikan janjinya.

Urimai dilaporkan akan menyokong PN pada PRK itu dan Chin berpendapat ia akan menjadi ujian peribadi buat Ramasamy dari segi pengaruhnya ke atas pengundi India untuk menyokong pembangkang.

Katanya, Ramasamy cuba menggerakkan pengundi India di Pulau Pinang ketika PRN tahun lalu, tetapi semua penyokongnya, seperti David Marshel dan Satees Muniandy, kehilangan deposit mereka.

“Jadi, PRK itu bukan mengenai peralihan undi India kepada PN, tetapi sama ada beliau boleh menjadi juara komuniti, khasnya selepas mereka menolaknya (secara tidak langsung) di Pulau Pinang.”

Seorang lagi penganalisis dari Universiti Sains Malaysia, Azmil Tayeb berkata, PRK itu bukan sekadar menguji sokongan masyarakat India, tetapi juga sokongan bukan Melayu terhadap PH.

Keputusan PRN tahun lalu menunjukkan undi India terhadap PH merosot sebanyak 21% di Negeri Sembilan, 19% di Pulau Pinang dan 12% di Selangor, manakala undi untuk PN meningkat sebanyak 29%, 19% serta 14% di tiga negeri itu.

Azmil berkata, trend itu mungkin berterusan di Kuala Kubu Baharu. Katanya, kebimbangan ekonomi, khususnya dalam kalangan golongan berpendapatan rendah juga akan memainkan faktor penting mempengaruhi sentimen pengundi dalam PRK itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.