
Beliau dalam catatan X pagi ini berkata, polis sudah bersedia mengambil tindakan terhadap isu 3R (kaum, agama dan raja), tetapi apabila pemimpin Umno terus menekankan isu stoking KK Mart, “serangan bersifat menghasut berterusan selama beberapa hari dan polis tidak bertindak balas, sekurang-kurangnya tidak secara terbuka”.
Dalam isu stoking itu, katanya, polis perlu bertindak segera bagi mengekang kecenderungan keganasan, bukannya tunggu sehingga keadaan bertambah teruk.
“Polis perlu sedar kenyataan menghasut dan ganas boleh datang daripada semua pihak, termasuk yang berada dalam kerajaan. Ia satu kesilapan dan tidak profesional jika mereka hanya fokus kepada (Presiden PAS) Hadi Awang dan rakan-rakannya.”
Beliau berkata, polis tidak patut tunggu sehingga orang ramai membuat laporan.
“Polis boleh dan patut bertindak apabila negara dalam bahaya. Tetapi, berapa ramai yang berani membuat laporan terhadap Umno, khasnya apabila serangan kaum dijadikan pembelaan terhadap agama?”
Zaid berkata, pemimpin tertinggi negara mengeluarkan amaran keras untuk menghentikan serangan sedemikian, selepas serangan bom petrol kedua ke atas cawangan KK Mart di Kuantan, Pahang semalam.
“Semua rakyat yang cintakan keamanan amat menghargai amaran mereka. Mudah-mudahan ia akan menjadikan mereka yang cenderung kepada keganasan berwaspada. Lemparan bom itu tidak menghairankan.
“Keganasan fizikal, seperti melontar bom, adalah manifestasi kesan terhadap keganasan lisan. Tindakan sedemikian sentiasa menyusul ancaman provokatif dan menghasut. Pemimpin kumpulan yang mahu melancarkan keganasan, termasuk rusuhan kaum, contohnya, akan menghasut rakyat terlebih dahulu.
“Jika anda dengar ucapan diktator seperti Hitler dan Stalin, anda boleh jangka tindakan susulan mereka membabitkan keganasan. Dan itu pasti akan berlaku,” katanya sambil menambah pemimpin negara perlu sentiasa berhati-hati.
“Cegah kecenderungan keganasan dari awal lagi. Mungkin sudah terlambat jika ucapan ganas, walaupun oleh Umno, dibiarkan berlarutan. Hasutan terhadap garis perkauman atau agama boleh mencetuskan reaksi segera yang kadangkala sukar dikawal.”