Sarawak pertama biayai dulu projek persekutuan demi percepat pelaksanaan

Sarawak pertama biayai dulu projek persekutuan demi percepat pelaksanaan

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata langkah itu menandakan kerjasama erat antara kerajaan persekutuan dengan negeri itu.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, Premier Sarawak Abang Johari Openg nyata kesediaan kerajaan negeri membiayai dulu projek yang perlu disegerakan. (Gambar Bernama)
KOTA SAMARAHAN:
Sarawak bakal melakar sejarah apabila menjadi kerajaan negeri pertama membiayai terlebih dahulu projek persekutuan di negeri itu bagi mempercepat pelaksanaannya.

Mengumumkan perkara itu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerjasama tersebut akan bermula dengan pelaksanaan projek Pusat Kanser Sarawak di sini.

“Saya setuju, kita bawa kaedah baharu di mana Sarawak boleh memulakan pembinaan sedikit, kita tampung kemudian…kita akan mulakan pembinaan pembangunan hospital kanser ataupun institut kanser ini sesegera mungkin,” katanya.

Berucap pada Majlis Berbuka Puasa Madani Sarawak 2024 di Masjid Al-Muttaqin, Anwar berkata kaedah itu juga dipersetujui kerana kerajaan Sarawak dapat memulakan projek berkenaan dengan lebih cepat dan pada kos lebih rendah.

“Kalau tengok kaedah biasa, ambil masa, kos tinggi. Orang Sarawak kata tak apa, kami bantu (dan) kami bagi beberapa rencana untuk memulakan projek,” katanya.

Anwar juga berkata kaedah baharu pelaksanaan projek itu dipersetujui dalam mesyuarat beliau bersama dengan Premier Sarawak Abang Johari Openg serta kerajaan negeri yang berlangsung di Pejabat Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak.

Beliau berkata, Abang Johari telah mengangkat isu-isu pendidikan dan kesihatan di Sarawak pada mesyuarat itu dan menyatakan kesediaan kerajaan negeri untuk membiayai terlebih dahulu projek persekutuan yang perlu disegerakan.

“Kadang-kadang sekolah nak dibina, klinik di kawasan pedalaman. Maka saya kata kita (kerajaan persekutuan) setuju sekiranya dalam keadaan negeri (Sarawak) berupaya nak mulakan projek itu dengan kos lebih rendah dan lebih cepat,” katanya.

Perdana menteri berkata, inilah kali pertama dalam sejarah Malaysia, kerajaan persekutuan menyerahkan banyak tanggungjawab persekutuan kepada kerajaan negeri yang menandakan kerjasama erat antara kerajaan persekutuan dan Sarawak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.