MAIWP peruntuk lebih RM1.6 juta bantu 10,000 pelajar IPT pulang beraya

MAIWP peruntuk lebih RM1.6 juta bantu 10,000 pelajar IPT pulang beraya

Antara IPT terbabit di sekitar Lembah Klang termasuk UTKML, UM, UKM dan UPNM.

Pengerusi MAIWP Syed Kamarulzaman Syed Kabeer bersama penuntut IPT terbabit dalam program Jom Balik Raya bersama Mahasiswa dan Gerobok Rezeki Komuniti Universiti di UPTM Kuala Lumpur malam tadi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperuntukkan lebih RM1.6 juta untuk membantu 10,000 mahasiswa di sekitar Lembah Klang pulang ke kampung halaman sempena Aidilfitri.

Pengerusi MAIWP Syed Kamarulzaman Syed Kabeer berkata, menerusi program Jom Balik Raya Bersama Mahasiswa, pihaknya bekerjasama dengan lapan institusi pengajian tinggi (IPT) termasuk Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP melibatkan 2,040 pelajar; Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur (UTMKL) (1,560); Universiti Malaya (UM) (1,800); dan Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) (1,140).

Selain itu, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan 1,120 pelajar masing-masing; Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur (794); dan Kolej Islam Antarabangsa (426) turut terbabit dalam program ini.

“Sumbangan merangkumi bantuan tiket bas, bantuan tiket kapal terbang dan wang saku bernilai RM100 seorang, melibatkan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM1.628 juta,” katanya ketika pelancaran program tersebut di UPTM Kuala Lumpur malam tadi, lapor Bernama.

Beliau berkata, bagi perjalanan pertama sahaja, sebanyak 25 bas membawa 880 pelajar telah menuju ke Melaka, Johor, Perak, Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Terengganu, Pahang dan Kelantan, selain 600 pelajar diterbangkan ke Sabah dan Sarawak pada Rabu lepas.

Sementara itu, Syed Kamarulzaman berkata, pihaknya turut meneruskan inisiatif “Gerobok Rezeki” di sekitar Lembah Klang tahun ini, dengan kerjasama Persatuan Empayar Kebajikan Malaysia, bertujuan membantu golongan yang memerlukan mendapatkan barangan keperluan harian secara percuma.

Katanya, menerusi inisiatif yang dilaksanakan sejak 2019 itu, sumbangan berbentuk makanan asas serta peralatan belajar dan barangan kebersihan diri bagi tempoh setahun disampaikan kepada 10 universiti dengan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM3 juta.

Antara universiti terlibat termasuk UM, UPNM, UPTM, UKMKL, KIA, UTMKL, Politeknik Kuala Lumpur, Universiti Sains Islam Malaysia Kuala Lumpur, Kolej Queens Kuala Lumpur dan Universiti Kuala Lumpur.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua IPT yang terlibat dalam program Gerobok Rezeki ini,” katanya.

“Ini membuktikan pihak universiti sentiasa peka dengan permasalahan dan keperluan pelajar. Saya harap tidak ada pelajar mengikat perut atau terpaksa menahan lapar akibat kekangan kewangan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.