Tak perlu tambah cuti raya, Cuepacs setuju gesaan ‘semangat kerja’ PM

Tak perlu tambah cuti raya, Cuepacs setuju gesaan ‘semangat kerja’ PM

Semalam, Anwar Ibrahim membayangkan tiada hari kelepasan am tambahan diberikan pada 12 Apr sempena Aidilfitri yang jatuh pada 10 dan 11 Apr.

Abdul Rahman Mohd Nordin berkata penjawat awam boleh mengambil cuti tahunan pada 12 April jika memerlukannya. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berpendapat cuti tambahan sempena Hari Raya bagi penjawat awam tidak perlu memandangkan warganya sudah menikmati banyak cuti umum sebelum itu.

Setiausaha Agung Cuepacs, Abdul Rahman Mohd Nordin bersetuju dengan pandangan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bahawa penjawat awam perlu mengutamakan semangat “kerja”, berbanding acap kali meminta cuti tambahan menjelang perayaan.

Beliau berkata pihaknya juga tidak akan merayu kerana memahami aspirasi pemerintah yang mahu warga setiap kementerian meningkatkan produktiviti kerja masing-masing.

“Kalau nak cuti lagi, dah terlampau banyak cuti. Kalau perlu cuti Jumaat, ambillah cuti tahun,” pesan Rahman kepada anggota pentadbiran kerajaan.

“Kalau Jumaat cuti (tambahan), produktiviti pun kurang nanti,” katanya kepada FMT.

Semalam, Anwar membayangkan tiada hari kelepasan am tambahan diberikan pada 12 Apr sempena Aidilfitri yang jatuh pada 10 dan 11 Apr.

“(Pada) 12 April ini kita kena ada semangat kerja,” katanya ringkas ketika ditanya sama ada kerajaan bercadang memberikan cuti tambahan sempena perayaan umat Islam itu.

Tambah Rahman, kaedah “work from home” atau kerja dari rumah juga tidak praktikal dilaksanakan pada tempoh berkenaan kerana masing-masing sudah tentu sibuk “beraya”.

“Kalau WFH masa raya, ibarat dia takkan buat kerja dah,” katanya, sambil menambah sektor awam perlu melihat sektor swasta yang tidak terlalu bergantung kepada cuti pelepasan am tambahan apabila tiba musim perayaan.

“Perlu ingat kita jabatan kerajaan… ada kepentingan dengan pihak luar, kalau cuti produktiviti macam mana?” soalnya.

Bagaimanapun, beliau berkata Cuepacs tidak menolak sekiranya pentadbiran Anwar berhasrat untuk memberi satu hari tambahan cuti kelepasan am.

Pada tahun lalu, Putrajaya mengumumkan satu hari kelepasan am tambahan iaitu pada Isnin (24 Apr) apabila Aidilfitri jatuh pada Jumaat (21 Apr).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.