Krisis air Januari: Industri P Pinang rugi RM10 juta

Krisis air Januari: Industri P Pinang rugi RM10 juta

Gangguan bekalan air terancang bermula 10 hingga 14 Jan itu melibatkan 80% pengguna di negeri itu.

Pada Januari, penduduk Pulau Pinang mengalami gangguan bekalan air terancang apabila LRA Sungai Dua dihenti tugas untuk kerja penyelenggaraan berjadual. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pulau Pinang merekodkan kerugian kira-kira RM10 juta melibatkan sektor ekonomi, pelancongan, pendidikan dan sosial akibat gangguan bekalan air pada Januari lepas.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Fadillah Yusof berkata, gangguan bekalan air terancang itu melibatkan lebih 590,000, iaitu 80%, pengguna di Pulau Pinang bermula 10 hingga 14 Jan.

“Pengoperasian bekalan air terawat di LRA Sungai Dua berkapasiti 1,228 juta liter sehari terpaksa dihenti tugas bagi memberi laluan kepada pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan berjadual,” katanya dalam jawapan bertulis pertanyaan bukan lisan Dewan Rakyat.

Beliau menjawab pertanyaan Siti Mastura Muhammad (PN-Kepala Batas) yang meminta kerajaan memperincikan kerugian ditanggung sektor terlibat susulan krisis air di negeri itu.

Sementara itu, menjawab pertanyaan Mastura mengenai kekurangan guru di sekolah Kementerian Pendidikan (KPM), Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, sekolah rendah berdepan kekurangan 9,642 guru, manakala sekolah menengah seramai 7,431 orang.

Data sehingga 31 Jan itu, katanya, selaras dengan permohonan bersara awal mengikut Akta Pencen 1980 dan Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM) yang menetapkan pegawai perkhidmatan awam lantikan tetap dan berpencen dibenar memohon bersara pilihan pada usia 40 tahun ke atas, dengan tempoh perkhidmatan tidak kurang 10 tahun.

“Dapatan kajian menunjukkan faktor menolak adalah disebabkan kesihatan, pendigitalan pendidikan, jurang generasi dan perubahan pelaksanaan dasar,” katanya.

Tambahnya, bagi urusan pengambilan guru untuk 2023, seramai 20,173 orang ditawarkan lantikan tetap dan kontrak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.