‘Itu sedekah, tak salah beri duit raya kepada polis’, kata Akmal

‘Itu sedekah, tak salah beri duit raya kepada polis’, kata Akmal

Kelmarin, Dr Akmal Saleh memuat naik video di Facebook menunjukkannya memberi duit raya kepada anggota polis di Jasin.

Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh berkata tidak salah untuk beliau memberi duit raya kepada anggota polis kerana ia dilakukan secara terbuka.
PETALING JAYA:
Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh menegaskan tiada kesalahan dalam tindakannya memberi duit raya kepada anggota polis di Jasin kerana ia dilakukan secara terbuka, bukan “senyap-senyap”.

Beliau yang juga Adun Merlimau berkata sumbangan ikhlas itu akan turut diserahkan kepada penjawat awam pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pejabat tanah daerah Jasin, minggu depan.

“Tak salah (bagi duit raya)… tetapi salah kalau beri secara senyap-senyap. Ini saya bagi secara terbuka dan duit raya itu pun RM20 seorang dapat.

“Lainlah kalau saya bagi ketua balai sahaja tetapi saya beri kepada 420 anggota polis di Jasin,” katanya kepada FMT, mengulas sama ada wujud kesalahan dalam tindakannya yang dipersoalkan segelintir pihak.

Kelmarin, beliau memuat naik klip video meraikan anggota polis di Parlimen Jasin yang menunjukkan exco Melaka itu memberi duit raya kepada anggota polis.

Menjelaskan situasi itu, Akmal berkata ia adalah sumbangan peribadinya, selain penghargaan kepada jasa polis dan penjawat awam agensi lain, tanpa menggunakan dana kerajaan atau “duit rakyat”.

“Ini (sumbangan) ihsan peribadi yang memang saya peruntuk setiap Ramadan dari sebahagian (hasil) duit klinik saya untuk dijadikan zakat.

“Saya buat ini sebelum jadi wakil rakyat lagi,” katanya yang mula menjadi Adun Merlimau sejak PRN Melaka pada Disember 2021.

Ditanya sama ada pemberian duit raya itu sebagai usaha menarik sokongan kepada Umno, ketua Umno Jasin terbabit menafikannya dan berkata: “Kalau musim pilihan raya bolehlah kata begitu…tetapi ada 2-3 tahun lagi (pilihan raya Melaka).

“Saya tak paksa dan sebut pun yang penerima mesti sokong (Umno), saya tahu dalam (kalangan kakitangan kerajaan) itu ada tak undi Barisan Nasional (BN) pun.

“Tetapi tak apa sebab ini bukan masa pilihan raya. Kita ikhlas nak bersedekah, nak menghargai mereka yang banyak berjasa kepada masyarakat,” katanya.

Pada Februari, Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata menjadi satu kesalahan kepada mana-mana pegawai dan anggotanya menerima sampul berisi wang atau angpau dalam waktu bekerja.

Namun, anggota polis dibenar menerima angpau daripada rakan atau ahli keluarga sempena apa-apa perayaan di luar waktu tugasan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.