Haji furada: Syarikat pelancongan diperintah bayar RM634,000 kepada 25 bekas pelanggan

Haji furada: Syarikat pelancongan diperintah bayar RM634,000 kepada 25 bekas pelanggan

Bayaran itu kepada pelanggan terkandas di Arab Saudi kerana visa furada palsu selain ada yang belum berlepas kerana tidak terima e-visa itu pada 2019.

Visa furada merujuk visa diuruskan sendiri dan dikeluarkan kerajaan Arab Saudi tanpa membabitkan jumlah kuota diperoleh menerusi Tabung Haji. (Gambar AP)
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan syarikat pelancongan Hajar Sazrul Travel & Tours Sdn Bhd (HSTT) membayar baki bayaran pakej haji menggunakan visa furada berjumlah RM634,000 kepada 25 bekas pelanggannya.

Mereka terdiri daripada kumpulan 15 individu yang telah berlepas ke Jeddah selepas menerima e-visa, namun terkandas di Lapangan Terbang King Abdul Aziz kerana visa terbabit adalah palsu, manakala 10 lagi belum berlepas kerana tidak menerima e-visa walaupun sudah menjelaskan semua bayaran pakej haji dalam insiden pada 2019.

Menerusi keputusan yang disampaikan secara dalam talian, Hakim Alice Loke Yee Ching memutuskan semua 25 individu selaku plaintif telah berjaya membuktikan tuntutan terhadap syarikat itu yang dinamakan sebagai defendan dalam saman berkenaan.

Loke turut menolak tuntutan balas defendan iaitu ganti rugi sebanyak RM479,350 dan memerintahkan syarikat itu membayar kos RM75,000 kepada semua plaintif.

Peguam Khairun Niza Husnin, yang mewakili semua plaintif, ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

Beliau berkata, semua plaintif lega dan bersyukur dengan keputusan itu dan berharap pihak pengurusan HSTT dapat menguruskan bayaran penghakiman seperti diarahkan.

“Ini kerana ada plaintif daripada golongan tua, tidak lagi bekerja dan berpendapatan rendah serta mereka hanya menuntut hak mereka berikutan kemungkiran kontrak di pihak HSTT,” katanya.

Visa furada adalah visa diuruskan sendiri dan dikeluarkan kerajaan Arab Saudi tanpa membabitkan jumlah kuota diperoleh menerusi Tabung Haji.

Menerusi saman difailkan pada Ogos 2020, plaintif mendakwa sekitar 2019, mereka telah dipelawa menyertai pakej haji furada bagi tahun itu dan diberikan jaminan bahawa wang akan dipulangkan sekiranya pakej itu gagal.

Semua plaintif kemudian membayar pakej masing-masing yang secara keseluruhannya RM795,000.

Pada 31 Julai 2019, defendan memaklumkan bahawa e-visa dikeluarkan kepada sebahagian jemaah termasuk 15 plaintif manakala mereka yang tidak menerima visa mendakwa telah dipelawa mendapatkannya melalui kuota Visa Raja Salman dengan membayar RM7,000 setiap seorang.

Jemaah yang menerima e-visa telah memulakan perjalanan ke Jeddah pada 5 Ogos 2019 tanpa diiringi mutawif.

Bagaimanapun, sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz, semua jemaah termasuk 15 plaintif telah gagal melepasi kaunter imigresen selepas imbasan terhadap e-visa terbabit memaparkan identiti individu berbeza.

Selepas 24 jam ditahan dan terpaksa tidur di atas lantai serta kerusi, semua jemaah telah diarah pulang ke Malaysia pada 7 Ogos 2019 selain wajib melaksanakan Tahallul Ihsar (denda) kerana tidak dapat menyempurnakan ibadah haji yang telah diniatkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.