5 lelaki bebas tuduhan bunuh wanita warga emas

5 lelaki bebas tuduhan bunuh wanita warga emas

Mahkamah Tinggi mendapati pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah.

Semua tertuduh berusia 33 tahun juga bebas pertuduhan cederakan cucu mangsa dalam kejadian 12 Ogos 2019.
SHAH ALAM:
Mahkamah Tinggi membebaskan lima lelaki daripada pertuduhan membunuh wanita warga emas dan mencederakan cucu lelaki mangsa di sebuah rumah di Sabak Bernam, lima tahun lalu.

Hakim Nurulhuda Nur’Aini Mohamad Nor membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah dalam kes terhadap A Sri Mahavishnu, 42, S Kannadasan, E Venthaan, T Devaraju, dan K Vikkines Varan, semuanya berusia 33 tahun.

“Dalam kes ini, isu utama adalah berkenaan identiti…pihak pembelaan telah mengemukakan notis alibi dan saksi mereka…selepas mengambil kira keterangan kedua-dua pihak, mahkamah mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah…oleh yang demikian, mahkamah melepaskan dan membebaskan semua tertuduh,” katanya.

Mereka didakwa membunuh P Runkanaikey, 78, di sebuah rumah di Jalan Rose Biru, Kampung Tebuk Pulai, Sabak Bernam antara 3.30 hingga 4.30 pagi 12 Ogos 2019 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup.

Semua tertuduh juga didakwa mencederakan N Silamparasan, 27, dengan menetak tangan, bahu, dan kaki mangsa pada tarikh dan di lokasi sama mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau dengan denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohammed Heikal Ismail, manakala tertuduh diwakili peguam Zaleha al-Hayat, GS Gabriel, dan Dinesh Muthal.

Seramai 14 saksi pendakwaan dan 12 saksi pembelaan memberi keterangan sepanjang perbicaraan kes bermula 15 Nov 2021.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.