
“Sekadar melihat kelayakan atas kertas mereka tidak cukup. Bahkan Jho Low juga layak,” katanya dalam catatan X hari ini.
Beliau berkata ujian itu perlu merangkumi keupayaan kognitif, sikap, personaliti dan harga diri.
“Adakah mereka terdedah kepada tekanan pihak atasan? Adakah calon itu mempunyai sejarah sangat suka bergaul dengan golongan kaya dan terkenal?
“Adakah mereka tergesa-gesa mengumpul kekayaan atau menganggap peranan mereka sebagai kewajipan kepada negara terlebih dahulu?
Zaid berkata dakwaan bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi bahawa beliau sekadar pengarah “atas nama” dan “tiada kuasa” ialah respons tipikal “orang Melayu bijak” dalam syarikat terkemuka terbabit skandal mega.
Merujuk skandal Bumiputra Malaysia Finance yang terkenal pada 1983, katanya: “Bank kedua terbesar di Asia Tenggara itu dan kebanggaan orang Melayu, memiliki semua bakat terbaik dalam negara.
“Selepas skandal itu, semuanya menyatakan perkara sama – mereka tiada kuasa menghentikan pinjaman kepada Carrian.
“Dua puluh tahun kemudian, kita dengar orang Melayu bijak dalam lembaga pengarah Malaysia Airlines tidak dapat menghentikan skandal kewangan itu, (dengan syarikat terbabit kerugian) lebih RM12 bilion.”
Menurutnya, Tabung Haji juga dikendalikan “orang Melayu bijak” pada 2015 ketika ia berdepan kerugian RM4 bilion.
Zaid berkata bekas perdana menteri Tunku Abdul Rahman pernah menepis cadangan beliau tidak mahu menggalakkan orang Melayu menceburi bidang perniagaan.
“Beliau hanya mahu orang Melayu mempelajari bahawa usahawan dan perniagaan mengambil masa untuk berjaya. Biar mereka ambil masanya.
“Pun begitu, ada orang Melayu bijak yang terburu-buru. Anda tidak boleh menyalahkan mereka bergaul dengan tauke kaya dan ahli politik berkuasa setiap hari.
“Apabila perjanjian berjuta-juta dimeterai di depan mereka, timbul keinginan untuk berjaya dalam masa paling singkat, tetapi itu merupakan anatema untuk kepentingan negara dan rakyat.”