Kumpulan hak asasi gesa polis siasat kenyataan hasut berkait stoking kalimah Allah

Kumpulan hak asasi gesa polis siasat kenyataan hasut berkait stoking kalimah Allah

Pengarah Lawyers for Liberty, Zaid Malek menekankan bahaya ahli politik menggunakan isu agama demi kepentingan politik.

Pengarah Lawyers for Liberty, Zaid Malek berkata, polis perlu menyiasat individu, termasuk ahli politik yang membuat kenyataan menghasut berhubung isu stoking tertera kalimah Allah. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kumpulan hak asasi manusia Lawyers for Liberty (LFL) menggesa polis menyiasat individu membuat kenyataan menghasut berhubung penjualan stoking tertera kalimah Allah.

Pengarah LFL, Zaid Malek berkata, ahli politik, khususnya Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh perlu bertanggungjawab kerana memburukkan lagi ketegangan walaupun selepas permohonan maaf dan tindakan undang-undang diambil terhadap KK Mart serta pembekalnya, Xin Jian Chang Sdn Bhd.

“Bahaya membiarkan ahli politik meneruskan naratif secara tidak berasas bahawa agama sedang diserang,” katanya dalam kenyataan.

“Kenyataan seperti ini daripada orang yang mempunyai kedudukan dan pengaruh politik boleh memberi kesan meluas terhadap ketenteraman awam.”

Tetapi, beliau berkata, pihak berkuasa lambat bertindak terhadap kenyataan berbaur hasutan oleh ahli politik, yang membawa kepada ketegangan semakin memuncak serta serangan bom petrol.

Zaid merujuk amaran dikeluarkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Suhaily Zain semalam untuk semua pihak, termasuk ahli politik berhenti mencetuskan isu 3R berkaitan kaum, agama dan royalti, khususnya isu stoking tertera kalimah Allah.

Kontroversi itu bermula apabila gambar tersebar di media sosial menunjukkan stoking tertera kalimah Allah ditemui di sebuah cawangan KK Mart di Bandar Sunway pada 13 Mac lalu.

Syarikat itu kemudiannya memohon maaf, tetapi Akmal terus berkempen secara terbuka untuk memboikot rangkaian kedai serbaneka itu di seluruh negara.

Zaid turut mengkritik pihak berkuasa lambat bertindak terhadap kenyataan ahli politik yang didakwanya menyebabkan ketegangan semakin memuncak dan serangan bom petrol di KK Mart Bidor.

“Orang ramai dan perniagaan dalam ketakutan akibat ketegangan tiruan semakin meningkat oleh ahli politik,” katanya sambil menambah perdebatan isu itu “tiada manfaat, tidak perlu dan bahaya”.

Beliau menggesa tindakan diambil bagi mengelakkan insiden sama berulang dan keadilan perlu ditegakkan ke atas pihak bertanggungjawab.

“Tidak kira jika individu bertanggungjawab itu datang daripada parti politik pemerintah,” katanya sambil memetik potensi kesalahan di bawah Seksyen 505(b) dan (c) Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.