Rakyat lebih percaya Padu jika bawah Kementerian Digital, kata Wan Fayhsal

Rakyat lebih percaya Padu jika bawah Kementerian Digital, kata Wan Fayhsal

Ahli Parlimen pembangkang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendakwa orang ramai tidak percaya Menteri Ekonomi Rafizi Ramli menguruskan Padu.

Ahli Parlimen pembangkang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata memindahkan Padu ke Kementerian Digital akan menyebabkan lebih ramai rakyat mendaftar.
KUALA LUMPUR:
Seorang Ahli Parlimen pembangkang menggesa kerajaan memindahkan sistem Pangkalan Data Utama (Padu) daripada Kementerian Ekonomi kepada Kementerian Digital.

Ketika membahaskan RUU Keselamatan Siber di Dewan Rakyat, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) mendakwa rakyat tidak percayakan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli untuk menguruskan Padu kerana beliau adalah pengasas syarikat Invoke yang terbabit dalam analisis data.

“Untuk memastikan Padu ini selamat, terkawal dan dipercayai rakyat, saya mencadangkan Padu dipindahkan bawah Kementerian Digital.

“Saya bersetuju dengan speaker Dun Johor (Puad Zarkashi) bahawa rakyat tak percaya dengan Pandan (Rafizi) kerana beliau dahulu saudagar data dan buat kerja di Invoke,” katanya.

Beliau berkata, dengan memindahkan Padu ke Kementerian Digital rakyat akan lebih percaya dan akan mendaftar.

Semalam, Rafizi mengumumkan seramai 8.1 juta mendaftar dengan Padu, kira-kira 36.8% daripada populasi orang dewasa negara ini.

Sabtu lalu, Rafizi menjangkakan 10 juta akan mendaftar dengan Padu menjelang tarikh akhir 31 Mac, jauh lebih rendah berbanding sasaran awal kerajaan iaitu 29 juta.

Sementara itu, Wan Fayhsal yang juga ketua Pemuda Bersatu memberi amaran kepada kerajaan supaya tidak menggunakan Akta Keselamatan Siber untuk mengancam pembangkang selepas ia diluluskan.

“Saya tidak mahu ia disalahgunakan kerajaan untuk menekan rakyat, terutama pembangkang, seperti mana Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 digunakan terhadap Pagoh dan Tasek Gelugor,” katanya.

Beliau merujuk Ahli Parlimen Pagoh Muhyiddin Yassin dan Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan. Muhyiddin adalah presiden Bersatu manakala Wan Saiful bekas ketua penerangan parti itu.

Kedua-dua pemimpin itu kini berdepan pendakwaan di mahkamah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.