
Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia (MRCA) berkata, perniagaan dan pelabur “sangat bimbang” dengan perkembangan terkini berkaitan KK Mart, yang diselubungi kontroversi selepas didakwa menjual stoking tertera kalimah Allah di salah satu cawangannya.
MRCA, yang mewakili lebih 550 rangkaian peruncit di negara ini, memberi amaran isu itu akan menakutkan pelabur kerana ia memberi “imej negatif” untuk pertumbuhan dan kelestarian perniagaan.
“Tindakan keras dan luar biasa ini pada dasarnya bertentangan prinsip keadilan. Ia secara tidak langsung memberi kesan kepada sebarang keputusan untuk memperluaskan atau meningkatkan perniagaan mereka di dalam dan luar negara.
“Layanan diberikan hanya akan menghalang pelaburan langsung asing (FDI) baru masuk ke negara walaupun usaha kerajaan untuk membawa lebih banyak FDI ke Malaysia,” katanya.
Katanya, MRCA menghormati hak kebebasan bersuara rakyat seperti termaktub dalam Perlembagaan tetapi ia tidak akan membiarkan sebarang tindakan yang boleh membangkitkan sentimen awam tentang perkara sensitif berkaitan kaum, agama, dan institusi diraja.
Sebelum ini, Pemuda Umno menggerakkan kempen boikot hampir 800 cawangan KK Mart di seluruh negara selepas beberapa gambar stoking tertera kalimah Allah di sebuah cawangan KK Mart di Bandar Sunway tular di media sosial.
Pengurusan KK Mart dan vendor yang membekalkan stoking itu kemudian membuat permohonan maaf.
Vendor, Xin Jian Chang Sdn Bhd, sebuah syarikat tempatan di Johor, berkata ia sudah menghubungi pembekal di China untuk mendapatkan penjelasan dan mengakui stoking itu termasuk dalam bungkusan pukal secara “tidak sengaja”.
Kilang Xin Jian Chang diarah tutup sementara oleh Majlis Perbandaran Batu Pahat.
Pengasas dan Pengarah KK Mart, Chai Kee Kan serta Loh Siew Mui, didakwa di mahkamah semalam atas tuduhan sengaja melukakan perasaan orang Islam dengan menjual stoking itu, manakala tiga pengarah Xin Jian Chang didakwa bersubahat. Semua mereka mengaku tidak bersalah.
Mereka berdepan hukuman penjara hingga setahun, denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.