
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri Kamaruddin Md Noor berkata, usaha itu bertujuan memberikan kemudahan kepada warga Thailand sekali gus menarik kedatangan pelancong.
“Berkait isu ini, saya akan mohon kelonggaran Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook (pada pertemuan itu) bagi mendapatkan kelulusan atau permit bas Thailand memasuki Kelantan.
“Sudah pastinya akan ada syarat-syarat tertentu yang perlu dihalusi termasuk jumlah bas yang dibenarkan bagi mengambil kira kepentingan pengusaha bas tempatan dan mengelak persaingan tidak sihat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas berhubung usaha kerajaan negeri dalam menarik kedatangan pelancong asing ke Kelantan sempena Tahun Melawat Kelantan 2024 di Program Iftar Mahabbah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri malam tadi.
Kamaruddin berkata, pihaknya juga telah menggunakan khidmat pempengaruh dari Thailand bagi mempromosikan keunikan di negeri ini selain penyertaan di Thailand Travel Fair di Pattani pada 20 April.
Sementara itu, katanya, Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra perlu dinaik taraf menjadi lapangan terbang antarabangsa agar pesawat yang lebih besar boleh mendarat.
“Landasan sedia ada perlu dipanjangkan kepada 400m dan kerajaan negeri mempunyai tanah yang mencukupi di kawasan lapangan sedia ada untuk tujuan itu,” katanya.