
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Farah Yasmin Salleh berkata, senarai lengkap nama dan jawatan saksi pendakwaan itu hanya akan dimaklumkan ketika perbicaraan kelak.
Ketika sebutan kes di hadapan Hakim Suzana Hussin hari ini, Farah Yasmin berkata, pihaknya telah menyerahkan senarai 47 nama saksi pendakwaan itu kepada pihak pembelaan dan memohon supaya saksi-saksi berkenaan tidak diganggu sepanjang kes berjalan.
Katanya, pihaknya juga akan menyerahkan pernyataan saksi-saksi pendakwaan kepada pembelaan dalam tempoh 14 hari mengikut Seksyen 402B Kanun Tatacara Jenayah sebelum saksi dipanggil memberi keterangan di mahkamah.
“Namun dokumen-dokumen berkaitan kes ini telah diserahkan kepada pembelaan mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah,” katanya.
Peguam Alaistair Brandah Norman yang mewakili Adam Radlan mengesahkan telah menerima dokumen-dokumen berkenaan.
Mahkamah kemudian mengarahkan setiap pernyataan saksi pendakwaan diserahkan kepada pembelaan dalam tempoh 14 hari sebelum saksi dipanggil memberi keterangan dan menetapkan 9 Mei untuk sebutan kes.
Tarikh perbicaraan selama 15 hari bermula Mei, iaitu pada 27 hingga 29 Mei; 10 hingga 12 Jun; 9 hingga 11 Julai; 22 hingga 24 Julai; dan 5 hingga 7 Ogos 2024 yang ditetapkan sebelum ini, dikekalkan.
Pada 21 Feb tahun lepas, Adam Radlan, yang juga timbalan ketua Bersatu Segambut, didakwa dengan satu tuduhan meminta suapan tunai sejumlah 3.5 hingga 7% nilai projek yang akan diperoleh daripada Mat Jusoh Mamat, pengarah urusan MIE Infrastructure & Energy Sdn Bhd.
Dia turut didakwa atas satu lagi tuduhan menerima suapan RM500,000 daripada individu sama sebagai upah kerana membantu syarikat itu mendapatkan surat sama bagi Projek Membina Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis daripada kerajaan secara rundingan terus, yang jumlah keseluruhannya RM47.8 juta.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran di Dutamas dan CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku, Taman Tunku pada Mac 2021 dan 26 Nov 2021.
Sementara itu, pada 22 Feb 2023, Adam Radlan didakwa atas dua tuduhan menerima suapan berjumlah RM4.1 juta daripada Lian Tian Chuan dan Mat Jusoh, sebagai upah bagi tertuduh membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd dan MIE Infrastructure & Energy bagi mendapatkan dua projek jenis sama (Jana Wibawa).
Pada 28 Feb tahun lepas, dia sekali lagi didakwa, iaitu secara rasuah meminta wang berjumlah RM2 juta daripada Lian sebagai upah membantu Nepturis mendapatkan projek berkaitan Jana Wibawa.
Kesemua tuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, atau mana-mana lebih tinggi.
Adam Radlan turut berdepan tujuh tuduhan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM3 juta mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.