
Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara berkata, tindakan kerajaan negeri menangguhkan pendaftaran penduduknya sementara menunggu pelaksanaan pangkalan data itu ditambah baik menjadi petanda ada sesuatu yang tidak kena dengan Padu.
Katanya, langkah itu memberi gambaran buruk terhadap Rafizi kerana namanya berkait rapat dengan inisiatif itu.
Sarawak mungkin mengambil langkah sedemikian disebabkan kekurangan penjelasan sewajarnya, tambahnya.
“Nampak buruk bagi (Rafizi) kerana tidak menjelaskan tujuan utama Padu dengan cukup baik, ia bukan semata-semata platform untuk mengagihkan bantuan,” katanya.
Azmi berkata, langkah itu juga menjadi cerminan buruk bagi kerajaan persekutuan, memandangkan Sarawak menolak pangkalan data itu atas kebimbangan berkait keselamatan.
Minggu lepas, pegawai tertinggi kerajaan Sarawak di Sri Aman dan Sibu diberitahu agar tidak mendaftarkan maklumat penduduk dengan Padu sehingga diberitahu kelak.
Residen Sri Aman Abang Porkan Abang Budiman mengeluarkan arahan itu dalam pekeliling yang ditujukan kepada pegawai daerah dan pentadbiran bahagian, lapor Borneo Post.
Pentadbir bahagian digesa menyampaikan mesej itu kepada ketua komuniti dan ahli jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung.
Felo Majlis Profesor Jeniri Amir berkata, kerajaan persekutuan tidak mengadakan libat urus yang baik dengan pihak berkepentingan di Sarawak.
“Lebih bagus (jika Rafizi) turun sendiri untuk berbincang, kerajaan Sarawak mungkin ada maklum balas dan input untuk pelaksanaan Padu,” katanya.
Beliau turut bersetuju bahawa situasi ini menimbulkan tanggapan buruk terhadap Rafizi disebabkan kurangnya penjelasan terperinci mengenai pelaksanaan Padu.
“Itulah sebabnya kadar pendaftaran rendah. Penerangan yang diberikan tidak cukup” katanya.
Semalam, Rafizi berkata, pegawai kementeriannya akan mengadakan pertemuan dengan kerajaan Sarawak minggu depan untuk membincangkan isu melibatkan pendaftaran Padu.