‘Kamu patut tahu kalau J-Kom lidah parti politik’, Teo selar PN

‘Kamu patut tahu kalau J-Kom lidah parti politik’, Teo selar PN

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata J-Kom ditubuhkan oleh PN ketika mentadbir pada 2021, bukannya kerajaan perpaduan.

Teo Nie Ching berkata sebanyak 99 jawatan tetap dan 239 jawatan kontrak diisi di J-Kom setakat ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching membidas Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) yang terus mempersoalkan kewujudan dan fungsi Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) sedangkan agensi itu ditubuhkan ketika pentadbiran gabungan itu.

Beliau berkata persoalan sama ada agensi itu menjadi lidah parti politik kerajaan perlu ditujukan kepada pentadbiran ketika itu yang diketuai Muhyiddin Yassin.

“Saya nak tanya dan ingatkan ahli Yang Berhormat di dalam dewan ini bahawa J-Kom ditubuhkan pada 1 Feb 2021 masa tu saya di duduk di sana sebagai wakil pembangkang.

“Jadi ini bukan agensi yang baru ditubuhkan kerajaan sekarang tetapi sudah tubuh pada 2021,” katanya di Dewan Rakyat, menjawab soalan dibangkitkan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang); Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) dan Shahidan Kassim (PN-Arau) fungsi J-Kom serta peranannya di dalam kerajaan.

“Semua ahli Yang Berhormat atau parti-parti politik yang berada dalam dewan ini pernah jadi kerajaan jadi janganlah tanya saya sama ada J-Kom yang ditubuh oleh pihak di sebelah sana sekarang lidah parti politik kerana J-Kom ditubuh oleh sebelah sana (pembangkang).”

J-Kom dijenamakan semula daripada Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) pada 2021 di bawah pentadbiran PN dengan peranan dan fungsi berbeza. Jasa sebelum ini adalah jabatan yang terlibat mengumpul risikan dan menyalurkan maklumat kepada pemerintah.

Jasa sebelum itu ditutup selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengambil alih kerajaan persekutuan pada Mei 2018.

Namun, ia diaktifkan kembali pada April 2020 ketika PN mentadbir.

Peranan dan fungsi J-Kom mula dipertikaikan pelbagai pihak susulan kontroversi membabitkan bekas ketua pengarahnya, Agus Yusoff, bersama pegawai Abdul Wahab Abdul Kadir Jailani menerusi klip perbualan “mesra” berdurasi tiga minit yang tular di media sosial pada November tahun lalu.

Mengulas siasatan terkini mengenai perkara itu, Teo berkata kes berkenaan di bawah siasatan pihak polis dan butiran lanjut mengenai siasatan terkini harus diajukan kepada Kementerian Dalam Negeri.

“Kerana apabila KP J-Kom letak jawatan, kami tidak terlibat dalam apa-apa siasatan terhadap beliau,” jelasnya.

Dalam pada itu, menjawab persoalan Abdul Latiff mengenai jumlah perjawatan di dalam J-Kom, Teo menjelaskan sebanyak 155 perjawatan tetap dan 307 jawatan kontrak diwujudkan namun hanya 99 jawatan tetap dan 239 jawatan kontrak diisi setakat ini.

“Ia melibatkan emolumen sebanyak RM61 juta bagi kakitangan perjawatan tetap sementara RM12 juta bagi emolumen kakitangan kontrak,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.