
Nur Aniyah Matramin, 54, berkata anak kelima daripada enam beradik itu pergi ke Bangkok, Thailand pada 10 Mac lalu untuk bekerja namun seminggu kemudiannya dia menerima pesanan suara menerusi Whatsapp dari anaknya mendakwa dia kini berada di Myanmar.
Katanya, dalam pesanan WhatsApp itu anaknya yang berusia 28 tahun memberitahu dia kini ditahan di satu lokasi di Myanmar dan dipaksa menjadi scammer.
“Anak saya juga dipaksa makan babi dan dipukul. (sindiket) Minta wang tebusan sebanyak USD8,000 (RM37,760) sekiranya mahu dia dilepaskan,” katanya dalam sidang media.
Turut hadir dalam sidang media itu wakil Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) dan wakil dari PKR Segambut.
Nur Aniyah berkata, kisah malang yang menimpa keluarganya bermula anaknya itu diajak bekerja oleh rakan lamanya yang menawarkan kerja pembinaan di Bangkok dengan gaji RM10,000 seminggu.
“Tentu kami tak bersetuju dan marah bila dia mahu pergi ke Bangkok sebab tahu tempat itu bahaya dan pernah ada kes dilaporkan sebelum ini. Tapi anak saya degil, tak dengar nasihat.
“Saya rayu MHO dan kerajaan dapat bantu selamatkan anak saya. Dia sangat berharap untuk menyambut hari raya bersama saya,” katanya.