
Katanya, ahli politik menyemarakkan Islamofobia apabila mereka menyokong naratif “kita lawan mereka” dan secara tidak sengaja menimbulkan kebencian atau prasangka dalam kalangan umat Islam terhadap golongan bukan Islam, seperti yang diperhatikannya berlaku di seluruh dunia, termasuk Turki sendiri.
Beliau berkata, perlu ada visi politik dan sivil yang mempertahankan umat Islam daripada prasangka dan ketidakadilan selain membina jambatan dengan golongan bukan Islam menerusi persefahaman dan sikap saling hormat-menghormati.
“Ini akan membantu ‘menyembuhkan’ Islamofobia serta fobia dalam kalangan umat Islam terhadap kumpulan lain,” katanya kepada FMT dalam temu bual sempena Hari Antarabangsa Memerangi Islamophobia pada 15 Mac.
Menurut Akyol, terdapat dua jenis Islamofobia. Jenis pertama berakar umbi daripada kebencian patologi beberapa kumpulan terhadap umat Islam, katanya.
Sebagai contoh, Akyol memetik kebencian golongan pendukung ketuanan kulit putih di Barat terhadap golongan minoriti Islam “hanya atas kewujudan mereka”, atau golongan ultra-nasionalis Serbia yang membenci umat Islam di Bosnia disebabkan kekalahan Serbia kepada Empayar Uthmaniyyah berabad-abad yang lalu.
Tidak banyak yang dapat dilakukan tentang kebencian membuta tuli seperti itu, selain mengutuk, mendapatkan perlindungan undang-undang dan mempertahankan diri, katanya.
Jenis kedua pula timbul sebahagiannya daripada kebimbangan dan reaksi terhadap beberapa perkara dahsyat yang dilakukan oleh kumpulan ekstremis atau rejim autoritarian atas nama Islam kebelakangan ini.
Hukuman mati terhadap orang tidak bersalah di Pakistan atas tuduhan kufur, atau tindakan Taliban menafikan pendidikan untuk wanita di Afghanistan menyebabkan mereka yang lazimnya tiada masalah dengan Islam mempunyai pandangan negatif terhadap agama itu, katanya.
Dalam keadaan sedemikian, berkata, umat Islam perlu “bertindak dengan berkesan”, dengan menjelaskan bahawa tindakan-tindakan melampau ini tidak mewakili seluruh umat Islam.
Komuniti itu juga harus mengecam tafsiran Islam yang ganas atau menindas kerana ia hanya akan mewujudkan tanggapan buruk terhadap agama ini, tambahnya.
“Jika tidak, propaganda Islamofobia akan lebih mendapat tempat di Barat dan di tempat lain.”
Akyol ialah felo kanan mengenai Islam dan kemodenan di Institut Cato, sebuah badan pemikir libertarian di Washington, yang telah menulis beberapa buku mengenai Islam dan liberalisme.