2 didenda jilid al-Quran di kilang bukan Islam, milik naskah tak diperaku KDN

2 didenda jilid al-Quran di kilang bukan Islam, milik naskah tak diperaku KDN

Idora Abdul Rashid didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya manakala Muhammad Imran Sahimi didenda RM3,500 di Mahkamah Majistret Kota Bharu.

Idora Abdul Rashidm didenda kerana membenarkan 2,540 naskhah al-Quran dijilidkan di sebuah kilang milik bukan Islam. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang pengurus syarikat percetakan didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, kerana tidak mematuhi syarat lesen Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Quran (LPPPQ) dengan membenarkan 2,540 naskhah al-Quran dijilidkan di sebuah kilang milik bukan Islam, tahun lepas.

Majistret Nur Natasha Mohtarudin ketika menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Idora Abdul Rashid, 42, selaku Orang Kena Saman (OKS) turut memerintahkan wanita itu menjalani hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda, menurut Bernama.

Bagaimanapun, OKS membayar denda itu.

Idora didakwa tidak mematuhi syarat lesen yang dikeluarkan LPPPQ, Kementerian Dalam Negeri (KDN), iaitu dengan membenarkan naskhah al-Quran dijilidkan oleh kilang itu, yang OKS tidak mematuhi syarat lesen.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah kilang di Taman Perindustrian Bukit Serdang, Seri Kembangan, Selangor pada 3 petang, 5 Sept 2023.

Pertuduhan mengikut Seksyen 5(7) Akta Pencetakan Teks al-Quran 1986 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum lima tahun.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa KDN Selangor Mohd Amin Azhar Qairil Yusoff, memohon hukuman setimpal supaya memberi pengajaran kepada OKS.

Sementara itu di Kota Bharu, seorang peniaga didenda RM3,500 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret atas pertuduhan memiliki 108 naskhah al-Quran yang tidak mempunyai kelulusan Kementerian Dalam Negeri (KDN), dua tahun lalu.

Muhammad Imran Sahimi, 36, selaku Orang Kena Saman (OKS), membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ahmad Syafiq Aizat Nazri.

Lelaki itu didakwa memiliki 20 naskah al-Quran An-Nur (saiz B3), 29 naskah al-Quran An Nur (saiz A4), tujuh naskah al-Quran An Nur (saiz A5), 44 naskah al-Quran Al-Mumayyaz (saiz A5) dan lapan naskah al-Quran Al-Mumayyaz (saiz A4), yang tiada perakuan kelulusan Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan Al-Quran KDN.

Kesalahan tersebut dilakukan di sebuah premis beralamat Lot 579-E, Jalan Tengku Petra Semarak di sini, lebih kurang pukul 10.30 pagi pada 15 Okt 2022.

Pertuduhan mengikut Seksyen 7(2) Akta Pencetakan Teks al-Quran 1986 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara selama tempoh yang tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa KDN Kelantan Mastini Zakaria manakala OKS tidak diwakili peguam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.