Bermula 1 cawangan, KK Mart bina empayar kedai serbaneka

Bermula 1 cawangan, KK Mart bina empayar kedai serbaneka

Ia bermula di Kuchai Lama, Kuala Lumpur sebelum menjadi rantaian kedua terbesar dalam perniagaan runcit hingga mengatasi 7-Eleven.

Kedai serbaneka KK Mart kini berada di hampir 800 lokasi seluruh negara. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
KK Super Mart, atau lebih dikenali sebagai KK Mart, menjadi perhatian ramai susulan penemuan beberapa pasang stoking tertera kalimah Allah di tiga cawangannya.

Pengasas dan pengarah eksekutif rangkaian kedai serbaneka itu, KK Chai membuat permohonan maaf dengan penuh sebak berhubung perkara itu, diikuti pembekal stoking, Xin Jian Chang Sdn Bhd berpangkalan di Batu Pahat, yang berkata produk itu diimport dari China.

FMT melihat pertumbuhan syarikat itu dalam tempoh dua dekad, bermula daripada sebuah kedai di Kuchai Lama, Kuala Lumpur, kepada rangkaian kedai serbaneka kedua terbesar di Malaysia, di belakang 99 Speed Mart yang diasaskan pada 1987.

Daripada sebuah kedai di KL kepada hampir 800 cawangan seluruh negara

Chai dan adik-beradiknya menubuhkan cawangan KK Mart pertama dengan modal RM60,000 di tingkat bawah lot kedai Kuchai Lama pada Januari 2001.

Syarikat itu semakin berkembang dengan beratus-ratus cawangan di dalam dan sekitar Lembah Klang bagaikan cendawan tumbuh, sebelum diperluas ke negeri lain.

Pada masa ini, terdapat hampir 800 cawangan KK Mart di seluruh negara, menurut laman web syarikat itu, dengan majoritinya di Lembah Klang, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Perak dan Sarawak.

KK Mart juga telah meluaskan jangkauannya ke Asia Selatan, membuka 21 cawangan di Nepal dan tiga di India, sementara Kumpulan KK menerokai industri lain, termasuk alat ganti kereta, makanan dan minuman, hospitaliti, malah sektor kecantikan dan kesihatan.

Pesaing tempatan kepada 2 pemain teratas

Lonjakan populariti dan permintaannya membawa kepada kemunculan KK Mart sebagai salah satu pemain utama dalam sektor kedai serbaneka.

Sektor itu dahulunya didominasi oleh 7-Eleven Malaysia, yang mana Berjaya Corp menjadi pemegang saham terbesarnya, sehingga diambil alih KK Mart dan rangkaian kedai serbaneka 99 Speed Mart Sdn Bhd dan MyNews Holdings Bhd.

Persaingan dalam industri semakin sengit dengan kemasukan nama asing lain, terutamanya FamilyMart Jepun dan kedai serbaneka Korea Selatan CU Mart, yang masing-masing dikendalikan oleh QL Resources Berhad dan MyNews.

Kemasukan pesaing tidak menghalang pertumbuhan KK Mart kerana syarikat itu terus meluaskan operasinya di seluruh negara dengan sasaran menubuhkan 1,000 cawangan di Malaysia.

KK Mart akhirnya menjadi rangkaian kedai serbaneka kedua terbesar di Malaysia, di belakang 99 Speed Mart yang mempunyai lebih 2,500 cawangan di seluruh negara.

Selepas perintah sekatan pergerakan (PKP) Covid-19 ditarik balik pada 2021, KK Mart meluaskan empayarnya dengan rancangan membuka 10 kedai setiap bulan, menjana pendapatan hampir RM1 bilion setahun.

Rangkaian kedai serbaneka itu juga menandatangani memorandum persefahaman dengan satu lagi rangkaian runcit Korea, GS25, pada Julai 2022 untuk kemasukan mereka ke Malaysia, namun tidak membuahkan hasil apabila perjanjian itu dibatalkan setahun kemudian.

Pada Mei 2023, The Edge memetik Chai sebagai berkata, KK Mart boleh disenaraikan di Bursa Malaysia “dalam tempoh satu hingga tiga tahun, apabila tiba masanya”.

Isu stoking dan politik

Masalah dihadapi KK Mart bermula dengan sebuah hantaran di media sosial, yang kemudian mencetuskan gerakan politik.

  • 13 Mac – Pendakwah bebas Firdaus Wong menyiarkan gambar stoking tertera kalimah “Allah” yang dijual di cawangan KK Mart Bandar Sunway. KK Mart mengeluarkan permohonan maaf enam jam kemudian, mengatakan produk itu diperoleh daripada vendor.
  • 14 Mac – KK Mart membuat laporan polis.
  • 15 Mac – Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh menggesa agar KK Mart diboikot.
Permohonan maaf secara terbuka oleh pengasas KK Mart KK Chai, pemilik vendor Xin Jian Chang, Soh Chin Huat dan pengurusan tertinggi KK Mart.
  • 16 Mac – KK Chai; pemilik vendor Xin Jian Chang, Soh Chin Huat; dan pengurusan tertinggi KK Mart membuat permohonan maaf secara terbuka pada sidang akhbar. Menurut mereka, stoking itu diimport dari China.
  • 17 Mac – Akmal dan pemimpin Pemuda Umno lain membuat laporan polis. Menteri Hal Ehwal Agama Na’im Mokhtar mengesahkan bahawa polis, Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang menyiasat perkara itu.
  • 18 Mac – Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata, pengurusan KK Mart akan dipanggil untuk membantu siasatan.
  • 19 Mac – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan perasaan dukacita berhubung kontroversi itu dan menggesa tindakan tegas diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab.
  • 20 Mac – Kilang Xin Jian Chang di Batu Pahat ditutup sementara.
  • 21 Mac – Majlis Perbandaran Batu Pahat berkata, pihaknya telah membatalkan lesen perniagaan vendor, tetapi Xin Jian Chang berkata, lesen itu sah sehingga ia menyerahkan kenyataan bertulis kepada majlis atas dakwaan tidak mematuhi syarat perlesenan.
  • 22 Mac – Kertas siasatan polis dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara. Dalam pada itu, seorang lelaki berusia 35 tahun dipenjara enam bulan dan didenda RM12,000 berhubung hantaran di Facebook berkaitan isu yang disifatkan menghina Islam.

Bakal menempuh tahun sukar?

Walaupun impak kewangan daripada kontroversi penjualan stoking yang tertera kalimah Allah itu mungkin tidak dapat dilihat dengan segera, Malaysiakini melaporkan penurunan jualan di tiga cawangan KK Mart di Lembah Klang.

Pekerja di salah satu cawangan juga dilaporkan dicaci orang ramai namun perkara ini tidak berlaku di dua cawangan lain yang ditinjau.

Keadaan itu tidak dibantu oleh Dr Akmal Saleh yang meningkatkan gesaannya supaya KK Mart diboikot, dengan ketua Pemuda Umno itu “menasihati” syarikat tersebut menceburi perniagaan lain.

Walaupun DAP, MCA dan bekas menteri perdagangan Rafidah Aziz menegur Akmal berhubung pendiriannya, ribuan komen pengguna Facebook menyatakan sokongan mereka kepada Adun Merlimau itu yang boleh menjadi cerminan sentimen di lapangan.

Setakat ini, respons terhadap isu itu, yang menurut Menteri Hal Ehwal Agama Na’im Mokhtar “tidak boleh dibiarkan berlaku”, menjadi petanda masa sukar untuk KK Mart tahun ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.