Budak 4 tahun maut jatuh tingkat 16 kuarters hospital

Budak 4 tahun maut jatuh tingkat 16 kuarters hospital

Ibu mangsa yang sedar dari tidur cuba menyelamatkan anak bongsunya namun tidak sempat.

Ketua Polis Sungai Buloh Mohd Hafiz Muhammad Nor, berkata mangsa disahkan maut di lokasi kejadian. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut terjatuh dari tingkat 16 bangunan Blok B, Kuarters Integrasi Hospital Sungai Buloh.

Ketua Polis Sungai Buloh Mohd Hafiz Muhammad Nor, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai insiden itu pada 4.28 petang tadi dan anggota yang tiba di lokasi kejadian mendapati seorang kanak-kanak telah meninggal dunia.

Beliau berkata, siasatan awal ke atas ibu dan bapa mangsa yang kedua-duanya berumur lingkungan 30-an mendapati ketika kejadian, seisi keluarga itu sedang tidur.

“Ketika ibu mangsa bangun dari tidur, beliau mendapati anak bongsunya itu berada di bahagian luar tepi jendela di ruang tamu yang telah terbuka tetapi tidak sempat mendapatkan mangsa sebelum mangsa terjatuh ke bawah,” menurutnya dalam kenyataan.

Hafiz berkata, kanak-kanak malang itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi dan punca kematian masih dalam siasatan.

“Satu kertas siasatan kes mati mengejut telah dibuka berkait kejadian tersebut dan ibu bapa mangsa juga akan diambil keterangan dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata, sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi mana-mana balai polis berdekatan atau IPD Sungai Buloh di talian 03-6156 1222 bagi membantu siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.