
Mereka akan didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam.
FMT difahamkan, semua pengarah KK Mart itu akan dikenakan pertuduhan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana perbuatan melukakan perasaan agama seseorang.
Manakala pengarah Xin Jian Chang akan dituduh bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan kerana bersubahat.
Terdahulu, polis memaklumkan kepada media Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman akan memfailkan pertuduhan 9 pagi esok, berkait isu stoking tertera kalimah Allah, dengan pendakwaan mengikut Seksyen 109 dan 298 Kanun Keseksaan.
KK Mart menjadi tumpuan mutakhir ini susulan pembongkaran beberapa pasang stoking tertera kalimah Allah dijual di sebuah rangkaiannya pada 13 Mac.
Pengasasnya, KK Chai, mengemukakan permohonan maaf atas kontroversi itu pada sidang media 16 Mac lalu, disertai pengurusan tertinggi syarikat dan Pemilik Xin Jian Chang, Soh Chin Huat. Mereka berkata stoking tersebut diimport dari China.
Puluhan laporan polis terhadap KK Mart diterima polis, manakala Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh menyeru masyarakat memboikot rangkaian kedai serbaneka itu. Kilang Xin Jian Chang di Batu Pahat menutup sementara operasinya.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sebelum itu, menzahirkan kemurkaan terhadap kontroversi dan menitahkan tindakan keras dikenakan kepada pihak bertanggungjawab.
Pada 17 Mac, polis mengesahkan kes itu disiasat dengan kertas siasatan dihantar kepada Pejabat Peguam Negara, lima hari kemudian.