
Chin berkata, sebahagian daripada pembawa ideologi politik berpaksikan kaum atau agama adalah daripada segmen masyarakat kelas atas dan menengah, malah keadaan itu dilihat di luar Malaysia juga.
“Mereka menggunakannya untuk mengekalkan kuasa dan menjadikan parti politik mereka lebih berasaskan perkauman dan agama,” kata profesor di Universiti of Tasmania itu.
“Malah, jika anda melihat kajian dijalankan mengenai polarisasi dalam politik di Amerika Syarikat, ia adalah kelas pertengahan, pertengahan atas yang mewujudkan polarisasi ini,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Subang Wong Chen bahawa orang ramai cenderung mengundi parti berbilang kaum apabila pendapatan mereka bertambah dan berganjak ke dalam kelas menengah.
Wong berkata, parti berasaskan kaum tidak akan berakhir sehingga kelas menengah menjadi kukuh.
Bagaimanapun, Chin berkata kelas menengah Melayu yang lebih kukuh tidak meredakan kebangkitan politik Islam di Malaysia sejak 30 tahun lalu di samping pertumbuhan ekonomi negara.
Seorang lagi penganalisis, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata kenyataan Wong sebahagian besarnya adalah benar bagi golongan menengah yang mencapai status itu menerusi kecekalan dan kerja keras mereka sendiri.
Katanya, bagaimanapun perkara sama tidak boleh dikatakan mengenai mereka yang bergerak melalui dasar kerajaan yang berasaskan kaum.
“Jika mereka mencapai status berpendapatan tinggi, berpendapatan sederhana melalui kerja keras mereka, maka kecenderungan untuk mengundi parti berbilang kaum adalah sangat tinggi, bukannya berasaskan kaum. Fikiran mereka tidak dikekang oleh subsidi atau kuota kerajaan.
“Tetapi jika mereka mencapai kedudukan melalui dasar kerajaan, maka mereka cenderung percaya bahawa dasar kerajaan telah membantu mereka. Jadi kecenderungan mereka mengundi parti berbilang kaum agak rendah berbanding kumpulan pertama,” katanya.
Beliau berkata, fahaman perkauman tertanam dalam politik negara selama beberapa dekad dan masalahnya ialah bagaimana ahli politik menggunakan isu perkauman atau agama untuk mendapatkan undi.
Atas sebab itulah parti berbilang kaum, seperti PKR dan DAP tidak boleh bersendirian.
“Mereka perlu bekerja dalam gabungan. PKR dan DAP, misalnya perlu bekerjasama dengan Amanah dan kini Umno untuk mencapai sasaran mereka. Jadi, masih jauh lagi sebelum parti berbilang kaum menjadi kebiasaan hari ini,” kata Azmi.