Jika berlaku dalam Mydin, kami akan lakukan perkara sama, kata Akmal

Jika berlaku dalam Mydin, kami akan lakukan perkara sama, kata Akmal

Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh, berkata isu akidah jauh lebih utama berbanding cakap soal ekonomi.

Ketua Pemuda Umno Akmal Saleh berkata pihak mahu menunjukkan solidariti umat Islam. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Dr Akmal Saleh menolak teguran tokoh perniagaan Ameer Ali Mydin yang tidak bersetuju dengan usaha beliau menggerakkan boikot terhadap rangkaian KK Mart berkait isu stoking tertera kalimah Allah.

“Ini isu akidah. Jauh lebih utama berbanding cakap soal ekonomi,” tegas ketua Pemuda Umno itu di TikTok.

Terdahulu, Ameer serta komuniti perniagaan bimbang tindakan Akmal menghangatkan isu itu walaupun selepas permohonan maaf dibuat boleh menjejaskan keyakinan pelabur serta pasaran.

Ameer berkata isu kalimah Allah memang serius tetapi perkara berkenaan tidak perlu dibesarkan manakala parti politik patut menjauhi isu 3R (raja, kaum, dan agama).

Akmal bagaimanapun berkata beliau tidak memainkan isu 3R, dan tidak ada kaitan dengan latar belakang kaum mana-mana pihak.

“Tindakan tegas perlu diambil umat Islam,” katanya.

“Jika perkara ini berlaku dalam Mydin kita akan lakukan perkara sama kepada Mydin.”

Kontroversi stoking tertera kalimah Allah tercetus susulan tular gambar penjualan produk itu minggu lalu, di sebuah cawangan KK Mart, sekali gus mengundang kecaman umat Islam termasuk desakan boikot oleh Pemuda Umno.

Desakan boikot itu berlaku walaupun sehingga kini belum ada pendakwaan dibuat terhadap mana-mana pihak.

Semalam, bekas ketua Wanita Umno, Rafidah Aziz, ketika membidas kelakuan Akmal berkata negara tidak perlukan pengapi ketika “tindakan sedang diambil”.

Menjawab teguran Rafidah, Akmal berkata pihaknya mahu menunjukkan solidariti umat Islam Melayu dengan boikot itu.

“Ini soal bagaimana umat Islam nak eskspresi kemarahan,” katanya. “Kita perlu pertahan agama. Ini bukan nak pergi perang.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.