Cukai barang mewah langkah terbaik tingkat hasil kerajaan, kata pakar

Cukai barang mewah langkah terbaik tingkat hasil kerajaan, kata pakar

Lai Wei Sieng dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata majoriti penduduk tidak akan terjejas kerana mereka yang akan membeli barangan mewah adalah golongan berpendapatan tinggi.

Kementerian Kewangan berkata ia kini sedang memuktamadkan beberapa dasar berkaitan cukai barangan bernilai tinggi, termasuk jenis barangan yang akan dikenakan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang pakar ekonomi menyifatkan cukai barangan mewah yang dijangka dilaksanakan pada 1 Mei, sebagai cara berkesan mengembangkan asas cukai kerajaan tanpa membebankan majoriti penduduk, terutama golongan berpendapatan rendah B40.

Lai Wei Sieng dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, mereka yang akan membeli barangan mewah adalah golongan berpendapatan tinggi, iaitu sebahagian dalam kumpulan berpendapatan sederhana M40 dan majoriti berpendapatan tinggi T20.

“Mereka yang berkemampuan membeli barangan mewah tidak akan terjejas dengan kenaikan tambahan 5% atau 10% pada harga,” katanya kepada FMT.

Awal minggu ini, Kementerian Kewangan berkata ia sedang memuktamadkan beberapa dasar berkaitan cukai barangan bernilai tinggi, termasuk jenis yang akan dikenakan. Kementerian juga sedang melihat kepada ambang harga yang akan menentukan apakah barang bernilai tinggi.

Cukai barangan mewah atau cukai barang bernilai tinggi (HVGT) dijangka dikenakan ke atas barangan seperti barang kemas dan jam tangan melebihi ambang harga tertentu. Kerajaan dijangka memperoleh pendapatan RM700 juta setahun.

Lai juga berkata, kadar dicadangkan antara 5% dan 10% adalah munasabah, jika dibandingkan negara lain seperti China dan Indonesia.

Cukai barangan mewah di China dilaporkan antara 30% dan 40% dan ia mempertimbangkan untuk menurunkannya sebanyak 10%. Di Indonesia, cukai itu dikenakan antara 10% hingga 95%.

Lai berkata, jangkaan hasil daripada cukai itu bermakna kerajaan boleh menyalurkan dana untuk pembangunan dan membantu mengurangkan hutang negara, yang meningkat kepada RM1.08 trilion pada 2022.

“HVGT boleh membantu kerajaan tanpa menjejaskan kos sara hidup ramai,” katanya.

Katanya, rancangan kerajaan untuk membenarkan pelancong menuntut bayaran balik cukai yang berkaitan sebelum berlepas tidak akan menghalang mereka daripada membeli barangan mewah.

Yeah Kim Leng dari Universiti Sunway pula berkata, nisbah hasil cukai kepada KDNK menurun secara berterusan selama beberapa dekad dan kini berada pada kedudukan lebih rendah daripada beberapa negara serantau Malaysia.

Pada 2021, Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) melaporkan nisbah hasil cukai kepada KDNK Malaysia hanya pada 11.8%, lebih rendah daripada Thailand (16.4%), Filipina (18.1%) dan Vietnam (18.2%).

Yeah, yang menganggotai badan penasihat khas untuk membantu Anwar Ibrahim sebagai menteri kewangan berkata, hasil cukai lebih tinggi diperlukan untuk memulihkan kedudukan fiskal kerajaan yang mengalami defisit sejak 1998.

“Memperluas asas cukai (termasuk melalui HVGT) akan mengukuhkan daya tahan fiskal kerajaan, membolehkan tindak balas lebih baik terhadap kemelesetan ekonomi,” katanya.

Perluasan asas cukai juga akan meningkatkan daya tahan fiskal kerajaan dan mengukuh keupayaannya untuk meningkatkan perbelanjaan kitaran balas jika berlaku kemelesetan ekonomi disebabkan faktor luaran.

“Asas cukai yang kecil ditambah dengan legasi masa lalu perbelanjaan kerajaan yang pro-kitaran dan defisit yang mengakibatkan peningkatan pesat dalam hutang awam, tidak mampan dalam jangka sederhana.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.