
Syahredzan yang juga ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP berkata, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonannya untuk injunksi terhadap Adun Sungai Ramal sehingga kes saman sivil itu selesai.
Injunksi itu melarang Shafie dan mana-mana akaun media sosial bawah kawalannya daripada mengulangi kenyataan terbabit.
“Kes ini ditetapkan untuk bicara pada 14 dan 15 Nov 2024 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur,” katanya dalam hantaran di X.
Pada Julai tahun lalu, Syahredzan menuntut permohonan maaf daripada Shafie kerana dikatakan memfitnahnya dalam dua majlis Perikatan Nasional.
Shafie yang juga Yang Dipertua PAS Bangi menafikan memfitnah Syahredzan dan menyatakan kesediaan menyelesaikan kes di mahkamah.
Syahredzan memfailkan saman itu pada Ogos tahun lalu, sebelum Shafie memenangi kerusi Sungai Ramal pada PRN Selangor.