
Isham berkata beliau yakin dirinya “di pihak yang benar” selepas Farhash menyampaikan surat tuntutan kepadanya semalam.
Beliau mendakwa Farhash mengelak menjawab soalannya.
“Jika kamu yakin kamu tidak bersalah, senang sahaja, jawab sahaja soalan saya, bukan suruh saya padam posting (di TikTok),” katanya dalam kenyataan sambil menambah ia adalah isu kepentingan awam.
Soalannya ialah: adakah Farhash mendapat maklumat dalaman penyedia perkhidmatan teknologi akan disenarai pendek untuk kontrak kerajaan sebelum membeli saham HeiTech Padu; adakah beliau mempengaruhi keputusan kerajaan memberikan kontrak kepada syarikat itu dan hubungannya dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Farhash memberi tujuh hari untuk Isham memohon maaf, menarik balik kenyataan dikatakan bersifat fitnah, memadam serta menurunkan video itu di TikTok. Katanya, beliau juga sedang menuntut ganti rugi yang tidak dinyatakan jumlahnya.
Isham bagaimanapun mendakwa video itu sudah diturunkan oleh TikTok.
Minggu lalu, Farhash muncul pemegang saham utama HeiTech Padu selepas memperoleh kepentingan tidak langsung sebanyak 15.9% (16.1 juta saham) dalam penyedia perkhidmatan teknologi itu.
Dalam makluman di Bursa Malaysia Khamis lalu, HeiTech Padu mengumumkan ia mendapat lanjutan kontrak bernilai RM13.1 juta untuk perkhidmatan menyelenggara sistem imigresen MyIMMs.
Kelmarin, bekas setiausaha politik Anwar itu menolak kebimbangan berlaku amalan “kroni”, selain mempertahankan pegangan sahamnya di HeiTech Padu dengan berkata ia sebahagian strategi untuk membantu syarikat Bumiputera.