Daim fail permohonan cabar peruntukan Akta SPRM

Daim fail permohonan cabar peruntukan Akta SPRM

Bekas menteri kewangan memohon Mahkamah Tinggi isytihar Seksyen 62 Akta SPRM sebagai tidak mengikut Perlembagaan.

Bekas menteri kewangan Daim Zainuddin juga memohon Mahkamah Tinggi menentukan kesahan Seksyen 36(2) Akta SPRM, berhubung pematuhan notis isytihar aset dikeluarkan agensi antirasuah. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Daim Zainuddin memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi mencabar kesahan peruntukan mengikut undang-undang antirasuah, yang memerlukan individu dituduh kemuka pernyataan pembelaan sebelum perbicaraan.

Bekas menteri kewangan memohon Mahkamah Tinggi mengisytiharkan Seksyen 62 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak mengikut Perlembagaan.

Seksyen itu memperuntuk bahawa tertuduh perlu menyerahkan pernyataan pembelaan kepada pihak pendakwa sebelum perbicaraan bermula.

Pada 2017, Mahkamah Persekutuan mengekalkan kesahan Seksyen 62.

Daim juga memohon Mahkamah Tinggi menentukan kesahan Seksyen 36(2) akta sama, berhubung pematuhan notis pengisytiharan aset dikeluarkan agensi antirasuah itu.

Pada 29 Jan, beliau mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan bawah Seksyen 36(2) kerana didakwa gagal mengisytiharkan pemilikan 38 syarikat, 19 plot tanah di Selangor, Negeri Sembilan, Pahang, Kedah, dan Kuala Lumpur, termasuk enam hartanah.

Daim juga didakwa gagal isytihar pemilikan akaun Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) dan Amanah Saham Nasional (ASN), selain tujuh kereta mewah.

Isterinya, Naimah Khalid, juga minta dibicarakan bagi satu pertuduhan mengikut Seksyen 36(2).

Naimah turut memohon Mahkamah Tinggi menentukan sama ada peruntukan itu mengikut Perlembagaan.

Mahkamah Sesyen menetapkan 22 Mac bagi sebutan ke atas permohonan rujukan Daim dan Naimah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.