‘Barang sekolah pun belum habis beli’, ibu bapa terbeban fikir persiapan raya

‘Barang sekolah pun belum habis beli’, ibu bapa terbeban fikir persiapan raya

Ramai dalam kalangan ibu bapa memilih untuk membuat persiapan ala kadar dan mengutamakan keperluan lebih penting.

Bazar Aidilfitri di Jalan Tuanku Abdul Rahman antara lokasi untuk orang ramai membeli persiapan Hari Raya.
PETALING JAYA:
“Barang sekolah pun belum habis beli, dah nak raya,” demikian luahan kebanyakan ibu bapa yang terbeban memikirkan persiapan Aidilfitri selepas baru sahaja berbelanja untuk kemasukan anak ke sesi persekolahan baharu.
Ariffin Mohd Ali.

Kontraktor, Ariffin Mohd Ali, 41, berkata kerajaan seharusnya peka dan segera mengembalikan sesi persekolahan ke Januari seawal 2025 berbanding 2026 seperti diumumkan Kementerian Pendidikan sebelum ini.

Tahun ini, pelajar sekolah memulakan sesi persekolahan pada 10 dan 11 Mac, sementara hari raya Aidilfitri jatuh pada tanggal 10 dan 11 April 2024.

“Memang terbebanlah disebabkan kita nak menghadapi Aidilfitri tak lama lagi, selepas itu dengan budak sekolah lagi. Sepatutnya kerajaan kena lebih peka dalam hal ini dan tak boleh masih lagi berkonsepkan PKP dulu. Sekolah itu perlulah diawalkan seperti biasa balik.

“Saya rasa ada yang tak raya pun, sebab dalam keadaan sekarang ini seorang anak pun mengambil kos beribu ringgit, bukan macam zaman dahulu,” katanya kepada FMT.

Mai.

Pekerja runcit yang hanya mahu dikenali sebagai Mai, 51, memberitahu bukan hanya harga barangan asas semakin tinggi, malah baju raya juga mahal.

“Memang terasa lah, kalau nak beli barang basah pun bawa RM100, RM200 tak cukup memang kena (ada) RM300 ke RM400 apa lagi baju (raya) pun banyak yang naik (harga).

“Ingatkan tahun ini sekolah dah berubah seperti biasa tapi tengok sama juga. Harap tahun depan dah boleh macam biasa sekolah mula Januari,” katanya.

Abdul Rahman Latif.

Tahun ini amat mengusik hati Abdul Rahman Latif, 40, pekerja kilang automotif apabila bapa kepada lima anak itu terpaksa memutuskan untuk membuat persiapan raya ala kadar.

“Kalau ada duit lebih, bolehlah kita beli baju raya. Tapi kalau fikir pasal raya, lebih penting kita dahulukan servis kereta bagi memastikan keselamatan perjalanan jauh balik kampung,” katanya.

Sharifah Abdul.

Suri rumah, Sharifah Abdul, 42, pula berkata meskipun sudah cuba berjimat namun bebannya masih sama kerana harga barangan di pasaran masih mahal.

“Tak boleh beli ikut suka. Kita sudah berusaha berjimat pun dia masih macam itu juga,” kata ibu kepada tiga cahaya mata itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.