291 pemandu lori menang tuntutan caruman Perkeso

291 pemandu lori menang tuntutan caruman Perkeso

Majikan kepada 291 pemandu lori itu didenda RM23,000 oleh mahkamah kerana gagal membayar caruman Perkeso pekerjanya sejak Januari 2011 hingga Julai 2018.

Mahkamah Majistret Johor Bahru mengarahkan Yinson Transport (M) Sdn Bhd membayar tunggakan caruman Perkeso berjumlah RM705,150 menerusi enam kali ansuran mulai bulan depan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Nasib 291 pemandu lori terbela apabila Mahkamah Majistret Johor Bahru mengarahkan Yinson Transport (M) Sdn Bhd membayar caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berjumlah RM705,150.

Perkeso dalam kenyataan berkata, syarikat itu diarah membayar tunggakan caruman sejak Januari 2011 hingga Julai 2018 menerusi enam kali ansuran bermula bulan depan.

“Pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melangkaui keraguan munasabah bagi enam pertuduhan ke atas majikan kerana gagal membayar caruman Perkeso berjumlah RM705,150.10 kepada 291 pemandu lori terbabit beserta denda sebanyak RM23,000 oleh mahkamah,” katanya.

Agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia itu berkata, berdasarkan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (AKSP), majikan bertanggungjawab memastikan semua pekerja mencarum skim keselamatan sosial di bawah Akta 4 supaya pekerja dilindungi, khasnya dalam sektor pengangkutan yang sentiasa terdedah kepada bahaya.

“Sekiranya majikan gagal membayar caruman, mereka boleh disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 6(1) dan 8 Akta Keselamatan Sosial Pekerja dan Peraturan 32 Peraturan-peraturan (Am) Keselamatan Sosial Pekerja 1971 serta boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 94(a) akta sama.”

Ia turut menggesa majikan segera mendaftar dan mencarumkan pekerja mereka, jika gagal berbuat demikian, mereka boleh didenda RM10,000 atau dipenjara dua tahun atau kedua-duanya mengikut Seksyen 94 Akta Keselamatan Sosial Pekerja.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.