Perbincangan peruntukan pembangkang dalam masa terdekat, kata Fadillah

Perbincangan peruntukan pembangkang dalam masa terdekat, kata Fadillah

Timbalan perdana menteri berkata hasil perbincangan itu akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri minggu depan.

Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof, berkata beliau akan mengadakan perbincangan dengan wakil pembangkang melibatkan dana di kawasan Parlimen. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof akan mengadakan perbincangan dengan wakil pembangkang berhubung permohonan peruntukan di kawasan masing-masing dalam masa terdekat.

Fadillah yang juga menteri peralihan tenaga dan transformasi air, berkata hasil perbincangan itu akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri minggu depan.

“Saya kena bertemu dengan ketua whip pembangkang (Takiyuddin Hassan) dahulu, kena bincang. Kemudian, akan dapat arahan daripada Kabinet dan kalau perlu perbincangan lanjut maka kita akan bentuk pasukan untuk membuat perundingan.

“Mungkin minggu depan (akan dibawa ke mesyuarat Kabinet), insya-Allah. Saya kena jumpa semua dahulu,” katanya kepada media selepas Majlis Berbuka Puasa Bersama warga kementerian.

Fadillah berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung pertemuannya dengan Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin, Ketua Whip Pembangkang Takiyuddin Hassan dan Ahli Parlimen Beluran Ronald Kiandee di pejabatnya semalam.

Beliau berkata, pertemuan berlangsung itu akan membincangkan mengenai pelbagai perkara, termasuklah isu berkaitan peruntukan.

“Itu hanya majlis pertemuan, macam-macam dibincangkan, (peruntukan) satu daripadanya,” katanya.

Ahad lalu, media melaporkan Hamzah serta wakil parti pembangkang telah meminta perbincangan berkaitan isu peruntukan ditangguhkan ke minggu hadapan.

Pada Titah Diraja bersempena dengan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan 2024 di Istana Negara semalam, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan harapan agar perhatian dan peruntukan dibahagikan secara saksama kepada semua bandar di 13 negeri seluruh Malaysia.

Seri Paduka Baginda bertitah sekiranya semua negeri dapat dibangunkan bersama, penghijrahan penduduk ke pusat bandar raya dapat dikurangkan dan kesesakan akan lebih terkawal.

Sementara itu, dalam majlis berkenaan, Fadillah turut menyantuni 36 anak yatim berusia tujuh hingga 12 tahun daripada Persatuan Kebajikan Baitul Barokah Wal Mahabbah, Sepang, Selangor.

Beliau turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada anak-anak yatim itu dan warga kementerian daripada kumpulan pelaksana.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.