Kilang edar stoking kalimah Allah tutup operasi

Kilang edar stoking kalimah Allah tutup operasi

Kilang pengedaran beroperasi di Batu Pahat juga memohon maaf atas kejadian itu.

Kain rentang digantung di pintu utama yang menyatakan kilang tutup operasi dan mesej meminta maaf kepada rakyat Malaysia. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Sebuah kilang di kawasan perindustrian Sri Gading di Batu Pahat, Johor yang terbabit dengan isu penjualan stoking kalimah Allah di kedai serbaneka KK Mart dilaporkan menutup operasinya bermula hari ini.

Penutupan kilang itu dibuat sehari selepas pihak berkuasa menyerbu kilang berkenaan dan menemui lima pasang stoking tertera kalimah Allah.

Menurut laporan Berita Harian, kilang yang terbabit dalam aktiviti bungkusan dan pengedaran itu sepi tanpa aktiviti.

Satu kain rentang juga digantung di pintu utama kilang berkenaan yang menyatakan kilang tutup operasi dan mesej meminta maaf kepada rakyat Malaysia.

“Kami dengan ikhlas memohon maaf atas kejadian berkaitan sarung kaki yang memaparkan perkataan sensitif yang tidak disengajakan,” kata mesej itu.

Pihak kilang juga berjanji untuk memastikan sensitiviti masyarakat berbilang bangsa dan keharmonian terjaga serta akan meningkatkan usaha kawalan kualiti.

Ketua Polis Batu Pahat, Ismail Dollah yang mengetuai serbuan ke kilang itu semalam berkata siasatan mendapati lima pasang stoking tertera kalimah Allah itu adalah yang dipulangkan oleh tiga kedai serbaneka KK Mart di Bandar Sunway.

Katanya, stoking itu ditempah dari sebuah syarikat di China dan kilang berkenaan hanya terbabit dalam pembungkusan dan pengedaran untuk pasaran tempatan, khususnya kedai serbaneka KK Mart.

Menurutnya, operasi membabitkan anggota IPK Johor dan IPD Batu Pahat itu menjalankan pemeriksaan ke atas 16 “bundle” stoking diimport dari China.

Syarikat itu, Xin Jian Chang Sdn Bhd juga dilaporkan sedang mempertimbang mengambil tindakan undang-undang terhadap pembekal dari China berhubung stoking itu yang dibekalkan kepada KK Mart.

Xin Jian Chang berkata, pihaknya telah menghubungi pembekal berkaitan dan dimaklumkan bahawa stoking yang mencetuskan kontroversi itu termasuk dalam stok yang dibekalkan secara tidak sengaja.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.