
Presiden FMM, Soh Thian Lai berkata, sebarang kenaikan kepada gaji minimum RM1,500 sekarang akan menyebabkan majikan perlu menaikkan gaji pekerja lain yang pendapatannya melebihi gaji minimum.
Ini katanya, perlu untuk mengekalkan perbezaan upah antara pekerja berdasarkan gred dan senioriti masing-masing.
Beliau berkata, tinjauan FMM mengunjurkan peningkatan marginal dalam keadaan ekonomi perniagaan pada separuh pertama 2024.
“FMM bimbang unjuran perniagaan positif ini akan terkesan akibat peningkatan kos pengeluaran (jika gaji minimum dinaikkan) dan menggugat pertumbuhan perniagaan dijangkakan, termasuk jangkaan peningkatan pengambilan tenaga kerja,” katanya kepada FMT.
Menurutnya, perniagaan mengalami kenaikan signifikan dalam kos pengoperasian apabila kerajaan menaikkan gaji minimum daripada RM1,200 kepada RM1,500 pada 2022.
Rabu lalu, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia menggesa Putrajaya menyemak semula kadar gaji minimum atas alasan kenaikan kos sara hidup dan 2% cukai perkhidmatan yang berkuat kuasa 1 Mac lalu.
Susulan itu, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim dilaporkan berkata, kerajaan akan menyemak kadar gaji minimum tahun ini selaras Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011, yang memberi mandat kepada majlis itu menyemak gaji minimum setiap dua tahun.
Chong Yoong Wen, pakar ekonomi daripada badan pemikir Bait Al-Amanah berkata, menaikkan kadar gaji minimum akan mengakibatkan dana sepatutnya dilaburkan untuk meningkatkan produktiviti terpaksa digunakan untuk membayar gaji yang telah dinaikkan.
Akibatnya, beliau berkata, dasar itu akan memberi kesan terhadap keupayaan prestasi perniagaan di negara ini , khasnya memandangkan 90% daripadanya merupakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
“Kenaikan kos tenaga kerja mungkin menyebabkan inflasi tolakan kos mungkin berlaku, ini serentak nilai ringgit lemah yang menjejaskan pengimportan bahan mentah.”
Beliau menggesa kerajaan mengekalkan kadar gaji progresif yang bersifat sukarela dan bergantung kepada kedudukan fiskal perniagaan.
Carmelo Ferlito dari Pusat Pendidikan Pasaran berkata, gaji minimum lebih tinggi mampu menjejaskan pekerja berkemahiran rendah dalam jangka panjang kerana syarikat mungkin beralih kepada automasi yang seterusnya membawa kepada pembuangan pekerja.
Memandangkan kebanyakan firma dalam negara adalah PMKS, katanya, kenaikan gaji minimum mungkin mengakibatkan kekangan belanjawan yang menghalang mereka mengambil lebih ramai pekerja.
“Kita patut kurang memikirkan gaji minimum dan lebih kepada mobiliti sosial – bagaimana kita dapat memastikan tenaga kerja kita berkembang secara beransur-ansur dalam kerjaya mereka,” katanya dengan menambah ada keperluan program peningkatan kemahiran seiring keperluan industri.