Tarik kenyataan dalam 7 hari, mohon maaf, Farhash beritahu Isham

Tarik kenyataan dalam 7 hari, mohon maaf, Farhash beritahu Isham

Ahli perniagaan itu juga menuntut ganti rugi daripada Isham Jalil.

Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak juga menuntut Isham Jalil membayar ganti rugi.
PETALING JAYA:
Ahli perniagaan Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak memberi tempoh tujuh hari kepada bekas pemimpin Umno untuk menarik balik kenyataan dibuat di media sosial berkaitan laporan beliau muncul sebagai pemegang saham utama sebuah kontraktor kerajaan.

Farhash juga menuntut Isham Jalil membuat kenyataan maaf secara terbuka berhubung kenyataan itu yang dianggapnya bersifat fitnah.

“Video itu (di TikTok) mesti dipadamkan dan diturunkan serta-merta,” katanya dalam kenyataan.

Farhash juga menuntut ganti rugi tetapi tidak menyatakan jumlahnya.

Katanya, surat tuntutan disampaikan kepada bekas ketua penerangan Umno itu petang tadi.

Farhash mendakwa Isham memuat naik video di TikTok bertajuk “Kroni Anwar beli saham syarikat disenarai pendek kontrak imigresen RM1 bilion?”.

Beliau mendakwa, video itu mengandungi pelbagai kenyataan fitnah yang dilemparkan terhadapnya selepas memperoleh pegangan saham HeiTech Padu Berhad menerusi Rosetta Partners Sdn Bhd.

Minggu lalu, Farhash muncul sebagai pemegang saham utama syarikat itu selepas memperoleh kepentingan tidak langsung sebanyak 15.9% (16.1 juta saham) dalam penyedia perkhidmatan teknologi tersebut.

Dalam makluman di Bursa Malaysia Khamis lalu, HeiTech Padu mengumumkan ia mendapat lanjutan kontrak bernilai RM13.1 juta untuk perkhidmatan menyelenggara sistem imigresen MyIMMs.

Semalam, Farhash menolak kebimbangan berlaku amalan “kroni” selepas beliau muncul sebagai pemegang saham utama di HeiTech Padu.

Beliau juga mempertahankan pegangan sahamnya di HeiTech Padu dengan berkata ia sebahagian daripada strategi untuk membantu syarikat Bumiputera.

Katanya, beliau kini tidak lagi terlibat dalam politik dan pentadbiran kerajaan, serta mahu memfokuskan bidang perniagaan dan korporat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.