Desak ketua undur isyarat PKR Sabah mahu ‘taring’ hadapi rundingan PRN

Desak ketua undur isyarat PKR Sabah mahu ‘taring’ hadapi rundingan PRN

PKR diberi tujuh kerusi daripada 73 yang ditandingi Warisan+ pada PRN lalu.

Sangkar Rasam sebelum ini berkata pihaknya akan menyampaikan hasrat bertanding di 25 kerusi pada PRN17. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Tindakan lebih separuh ketua PKR bahagian di Sabah menolak ketua negeri mereka isyarat jelas akar umbi mahu parti lebih bersedia dalam rundingan kerusi PRN.

Lazimnya tuntutan tukar pemimpin tertinggi sebegitu tidak akan berlaku sekiranya pemegang jawatan berkenaan terbukti kuat dan efektif, menurut penganalisis.

“Jika pucuk pimpinan dilihat lemah dan tidak membawa sebarang perubahan positif pastinya tuntutan perubahan mahu pun protes akan berlaku,” kata Tony Paridi Bagang dari UiTM Sabah.

Baru-baru ini 15 daripada 26 ketua bahagian mengisytiharkan mereka menolak kepimpinan Pengerusi Sangkar Rasam dan mendesak beliau meletak jawatan, atas dakwaan dia kurang dikenali, tidak mendapat kepercayaan majoriti kepimpinan akar umbi, dan gagal mengadakan program memperkasakan PKR Sabah.

Sangkar menggalas jawatan itu sejak 2022, namun Ketua Tuaran Razeef Rakimin berkata PKR Sabah tidak berpeluang menang PRN jika terus diterajuinya.

Pada 20 Feb, Sangkar berkata pihaknya akan menyampaikan hasrat bertanding di 25 kerusi pada PRN17, kepada Presiden Anwar Ibrahim untuk dibincangkan dalam Pakatan Harapan (PH).

Ahli majlis pimpinan negeri, Sazalye Donol Abdullah, bagaimanapun percaya PKR mempunyai potensi di kira-kira 35 kerusi.

“Jika kepimpinan kurang berbisa, PKR mungkin berhadapan cabaran besar untuk meminta kerusi lebih daripada sedia ada,” kata Tony.

Perkembangan PKR Sabah ini berlatarkan keinginan sekutu-sekutunya menuju PRN17.

Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) mengumumkan ia mahu bertanding lebih banyak kerusi, sementara DAP mengisytiharkan ia akan mempertahankan semua empat kerusinya, manakala Amanah turut menyatakan hasrat ingin bertanding.

Pada PRN 2020, gabungan Warisan+ yang disertai PKR memperuntukkan hanya tujuh kerusi kepada parti itu, daripada 73 yang dipertandingkan.

Warisan bertanding di 46 kerusi, Upko di 12 kerusi, manakala DAP di tujuh kerusi.

Lee Kuok Tiung dari Universiti Sabah Malaysia mencadangkan PKR juga berdepan masalah sengit lain.

“Pada ketika ini PKR Sabah tiada pemimpin Cina, Melayu, mahupun Kadazan-Dusut-Murut-Rungus yang menonjol. Kemenangan mereka banyak dipengaruhi oleh lambang PH,” katanya.

Penggal Dewan Undangan Negeri Sabah dikatakan akan berakhir pada Oktober tahun depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.